Gajah liar jantan dikenali sebagai Sulong tidak lagi dikesan berada di sepanjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dan kini dipercayai sudah memasuki kawasan hutan di Kelantan.
Menurut laporan Harian Metro, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan menggunakan dron bagi membantu mengesan pergerakan dan kedudukan Sulong.
Haiwan berkenaan sebelum ini dikesan berkeliaran di sekitar JRTB, Gerik, Perak sejak 17 Ogos lalu sebelum bergerak menuju ke arah Jeli.
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, anggota jabatan itu sudah digerakkan untuk menjalankan pemantauan dari udara dan darat.
“Kami mengambil maklum kebimbangan disuarakan oleh masyarakat mengenai isu ini. Pada masa sama, anggota jabatan sudah digerakkan untuk memantau pergerakan dan keadaan Sulong menggunakan dron serta pemantauan melalui jalan darat secara berkala,” katanya.
Berdasarkan pemantauan terkini, Sulong tidak lagi berada di sepanjang JRTB dan dipercayai sudah bergerak masuk ke kawasan hutan di Kelantan.
“Dron akan digunakan di lokasi yang bersesuaian bagi membantu mengesan pergerakan dan kedudukan gajah itu, selain pemantauan melalui jalan darat oleh PERHILITAN,” katanya.
Kecederaan kaki terus dinilai
Sulong turut dikesan mengalami kecederaan pada kaki hadapan.
Menurut Abdul Kadir, keadaan kecederaan itu diberi perhatian dan akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan situasi semasa di lapangan.
Kehadiran Sulong sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas beberapa rakaman videonya tersebar luas di media sosial.
Bagaimanapun, sebarang tindakan untuk menyelamat atau mengendalikan gajah berkenaan hanya boleh dilakukan apabila Sulong berada di lokasi yang sesuai dan selamat.
Langkah itu penting bagi memastikan tindakan yang diambil tidak mendatangkan risiko tambahan kepada Sulong serta tidak menjejaskan keselamatan anggota operasi dan orang awam.
Jangan berhenti ambil gambar atau beri makanan
PERHILITAN turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugasnya ketika melalui kawasan pemantauan.
Orang ramai diminta tidak berhenti untuk mengambil gambar atau merakam video gajah kerana tindakan itu boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.
“Memberi makanan atau meletakkan makanan untuk gajah adalah ditegah di sepanjang JRTB,” katanya.
Sebarang aduan berkaitan hidupan liar boleh disalurkan melalui talian hotline PERHILITAN di 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) menerusi laman sesawang rasmi jabatan itu.
Dipindahkan dari Chalil pada 4 Ogos
Penduduk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil sebelum ini mengesahkan gajah liar jantan yang berkeliaran di JRTB sejak 17 Ogos itu ialah gajah yang dipindahkan dari penempatan berkenaan pada 4 Ogos lalu.
Sebelum dipindahkan, kelibat Sulong pernah dirakam berkeliaran di kawasan kampung sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk.
PERHILITAN Perak kemudian memantau pergerakan haiwan tersebut di sepanjang JRTB serta mengambil tindakan menggiringnya kembali ke kawasan hutan.
Sumber: Harian Metro
