Penyu Kembali Bertelur di Kelantan Selepas Tiga Dekad, 156 Anak Dilepaskan ke Laut

Kemunculan ratusan anak penyu yang baru menetas di Pantai Pachakan, Pasir Puteh menggemparkan penduduk kampung selepas kejadian itu dipercayai kali pertama direkodkan dalam tempoh 30 tahun.

Penemuan berkenaan turut menimbulkan persoalan sama ada penyu kini kembali menjadikan pantai di Kelantan sebagai lokasi pendaratan dan bertelur.

Menurut laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Ismail Ibrahim berkata, anak penyu spesies agar itu mula disedari penduduk yang berada di sebuah kedai makan kira-kira 20 meter dari gigi air.

Penduduk kemudian memaklumkan penemuan tersebut kepada myKomuniti Perikanan (myKP) Pasir Puteh pada jam 9.30 malam.

“Kami dapati terdapat 183 anak penyu dan telur, yang mana hanya 156 ekor kami lepaskan semula ke laut bagi tujuan pemuliharaan, manakala selebihnya tidak menetas.

“Kami juga berjaya menemui sarang telur penyu dan berusaha menggali bagi mengenal pasti jika masih ada telur yang tertinggal kerana keadaan pasir agak lembap dan sedikit berat untuk telur menetas, terutama telur yang berada lebih dalam di pasir,” katanya selepas operasi menyelamat reptilia tersebut.

Ismail berkata, sudah lama tiada rekod penyu bertelur di Kelantan, walaupun beberapa pantai di daerah Pasir Puteh dan Bachok pernah dikenal pasti sebagai lokasi pendaratan reptilia itu.

“Kami ada terima kes jumpa penyu terdampar yang mati, tapi tidak banyak. Yang bertelur secara semula jadi ini selepas tiga dekad, satu penemuan yang kami akan lebih berjaga-jaga dan lebihkan kempen kesedaran dengan kehadiran anak-anak penyu,” katanya.

Jabatan Perikanan Kelantan mengambil masa kira-kira satu jam untuk menjalankan operasi menyelamat dan pemuliharaan sebelum 156 anak penyu berkenaan dilepaskan semula ke laut.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!