Penganggur Ditahan Terlibat 11 Kes Pecah Rumah di Kota Bharu

Kegiatan seorang penganggur yang dipercayai terbabit dalam siri pecah rumah di Kota Bharu akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis pada 10 Ogos lalu.

Penahanan suspek berusia 28 tahun itu membolehkan polis menyelesaikan 11 kes pecah rumah dan satu kes curi motosikal dengan anggaran kerugian keseluruhan kira-kira RM100,000.

Menurut laporan Sinar Harian, suspek ditahan sepasukan polis dari Cawangan D4, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dalam serbuan di sebuah rumah di Kota Bharu kira-kira jam 6.30 petang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, polis turut merampas sebuah motosikal Honda C70 dan beberapa barangan lain dalam serbuan tersebut.

Antara barang yang dirampas ialah empat telefon bimbit, lima jam tangan pelbagai jenama, lima kad bank, tiga bentuk cincin, seutas gelang tangan dan tiga beg tangan pelbagai jenama.

Polis turut menemukan wang tunai berjumlah RM250.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine.

“Hasil tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes pecah rumah dan satu kes curi motosikal yang berlaku di Kota Bharu dengan anggaran kerugian keseluruhan RM100,000,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun. Pesalah juga boleh dikenakan denda atau sebatan bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan,” kata beliau.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!