‘Tampar Kapit’ Pelajar Sehingga Hilang Pendengaran, Guru Diarah Bayar Ganti Rugi

Seorang pesara guru mata pelajaran Sejarah diperintahkan membayar ganti rugi keseluruhan RM88,069 kepada bekas pelajarnya yang ditampar sebanyak empat kali ketika sesi pembelajaran di sebuah sekolah menengah di Kelantan, tujuh tahun lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd Rosli Yusoff pada Isnin selepas membenarkan tuntutan saman sivil yang difailkan mangsa melalui ibunya.

Mangsa, Mohamad Adam Maidin, 21, bersama ibunya, Noor Azleen Mohamad, 47, memfailkan saman terhadap guru berkenaan, Isamuddin Ismail, 63, yang ketika itu turut memegang jawatan Penolong Kanan Pentadbiran.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah pengetua sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan dan Kerajaan Malaysia.

Ditampar dari arah belakang

Dalam penghakimannya, Mohd Rosli berkata, guru terbabit didapati melakukan serangan sentuh terhadap mangsa dengan menampar muka serta kedua-dua pipinya menggunakan tangan kanan dan kiri dari arah belakang.

“Mangsa kena ‘tampar kapit’ dan mahkamah mengambil kira keterangan doktor serta beberapa ujian pendengaran yang dijalankan terhadap mangsa, membuktikan kecederaan dialaminya.

“Mahkamah juga mendapati guru berkenaan sebagai seorang pendidik mempunyai tanggungjawab untuk berhati-hati ke atas pelajar,” katanya.

Ketika kejadian kira-kira jam 10.30 pagi pada 28 Januari 2019, Mohamad Adam merupakan pelajar Tingkatan Dua dan baru berusia 14 tahun.

Dia dikatakan sedang berada di mejanya bersama rakan sekelas sebelum guru berkenaan datang dari arah belakang lalu menamparnya dengan kuat sebanyak empat kali.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan pada muka dan kedua-dua telinga, selain mengadu pening, kurang pendengaran serta bunyi berdesing di dalam telinga.

Alami masalah pendengaran

Ibunya kemudian membawa mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Berek 12 sebelum dia dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk pemeriksaan pakar telinga.

Laporan perubatan yang dikeluarkan pada Jun 2019 mendapati mangsa mengalami masalah pendengaran pada telinga kanan, termasuk kehilangan pendengaran bercampur pada tahap ringan hingga sederhana.

Keadaan itu didiagnosis sebagai kecederaan akibat trauma yang dipercayai berpunca daripada perbuatan menampar.

Kejadian berkenaan turut meninggalkan kesan emosi apabila mangsa menjadi takut untuk kembali ke sekolah dan berhadapan dengan guru terbabit.

Kira-kira sebulan kemudian, dia terpaksa berpindah ke sekolah lain dan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk kembali pulih daripada trauma.

Ibu mula sedar perubahan anak

Noor Azleen berkata, perubahan pada anaknya mula disedari ketika dia mengambil mangsa pulang dari sekolah pada hari kejadian.

Wajah anaknya ketika itu kelihatan merah, murung dan tidak bermaya, selain mengadu sakit kepala.

Seorang rakan sekelas mangsa kemudian memberitahu bahawa Mohamad Adam telah ditampar oleh guru berkenaan dan meminta supaya dia dibawa mendapatkan rawatan.

“Dia takut nak pergi sekolah sehingga saya terpaksa tukarkan dia ke sekolah lain.

“Selepas kira-kira dua hingga tiga tahun barulah saya nampak dia semakin pulih,” katanya.

Noor Azleen yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta berkata, kejadian itu turut memberikan kesan kepadanya kerana bimbang perkara sama berulang terhadap pelajar lain.

“Kalau anak-anak beritahu ada perkara berlaku di sekolah, ibu bapa tolong siasat.

“Pada guru pula, jangan gunakan kekerasan atau pukul kawasan seperti mata atau telinga kerana kesannya boleh berpanjangan selain sudah tiada ganti,” katanya.

Tuntutan terhadap semua defendan dibenarkan

Peguam plaintif, Mohd Syukran Mohd Noordin berkata, mahkamah membenarkan tuntutan terhadap kesemua defendan selepas mendapati wujud kecuaian serta tanggungjawab yang perlu dipikul berhubung kejadian tersebut.

“Jumlah RM88,069 yang diperintahkan mahkamah itu merangkumi RM45,000 ganti rugi am, RM569 ganti rugi khas, RM11,250 ganti rugi teladan dan RM11,250 ganti rugi teruk selain faedah serta kos sebanyak RM20,000,” katanya.

Saman sivil berkenaan difailkan melalui Tetuan Syukran Noordin pada Mac 2021, kira-kira dua tahun selepas kejadian.

Kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syakimah Ibrahim.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!