Penantian seorang ibu untuk mendapatkan keadilan atas kematian anak lelakinya yang terjatuh melalui lantai bas reput berakhir selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu memutuskan beberapa pihak cuai dalam tragedi tersebut.
Hakim Mohd Rosli Yusoff mendapati pemandu dan pemilik bas, guru besar sekolah serta pihak berkuasa pendidikan bertanggungjawab terhadap kematian Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12.
Menurut laporan Berita Harian, mahkamah memerintahkan bayaran ganti rugi RM17,573 kepada ibu mangsa, Nik Hasmani Mohamed, selepas beliau berjaya membuktikan tuntutannya berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Defendan secara kolektif diputuskan bertanggungjawab sepenuhnya atau 100 peratus terhadap kematian Adam.
Terjatuh Melalui Lantai Bas Ketika Lawatan Sekolah
Tragedi berlaku kira-kira jam 11.40 pagi pada 4 Julai 2019 ketika Adam mengikuti rombongan bersama 30 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang.
Mereka dalam perjalanan ke Bukit Kluang, Besut, Terengganu untuk menyertai program English Booster Week UPSR 2019.
Program di bawah Empower ECER Academic Training itu dianjurkan Institut Pendidikan Neo (iNED), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ketika bas melalui Kilometer 12, Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik, Adam terjatuh melalui bahagian lantai bas yang reput sebelum tercampak ke atas jalan.
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu Bas Gagal Kawal Pergerakan Murid
Dalam alasan penghakiman bertarikh 9 Ogos, mahkamah mendapati pemandu bas, Shalahudin Ibrahim, gagal menjalankan kawalan sewajarnya terhadap murid sepanjang perjalanan.
“Kemalangan dalam kes ini boleh dielakkan sekiranya beliau bertindak tegas dengan melarang kanak-kanak berkenaan daripada berjalan dan bergerak ke sana sini sepanjang perjalanan.
“Beliau juga boleh memberhentikan bas sekiranya ada kanak-kanak yang enggan mematuhi arahannya,” kata hakim.
Pemilik Benarkan Bas dengan Lantai Reput Digunakan
Pemilik bas, Mohamad Che Su, turut didapati melanggar tanggungjawab berjaga-jaga apabila membenarkan murid menaiki kenderaan yang mempunyai lantai reput dan rosak.
“Mahkamah berpuas hati bahawa bahagian hadapan lantai bas tempat mangsa terjatuh sememangnya reput dan tidak kukuh.
“Sekiranya pemilik bas menggantikan keseluruhan lantai bas dengan lantai baharu dan kukuh, kejadian ini tidak akan berlaku walaupun kanak-kanak berjalan atau melompat di dalam bas,” katanya.
Guru Besar Gagal Sediakan Guru Pengiring
Mahkamah turut mendapati guru besar sekolah ketika itu, Ahmad Sanusi Ramlee, cuai kerana gagal mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan murid.
Tiada guru pengiring disediakan dalam perjalanan tersebut, manakala pegawai pengiring yang dikatakan telah diatur pihak penganjur juga tidak hadir.
“Guru besar bukan sahaja gagal menyediakan guru pengiring, malah gagal memastikan kehadiran pegawai pengiring yang dikatakan disediakan oleh pihak penganjur,” kata hakim.
Walaupun program itu tidak dianjurkan sepenuhnya oleh pihak sekolah, ia telah diluluskan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan melibatkan murid SK Tok Bok.
Mahkamah kemudian memutuskan JPN dan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius terhadap kecuaian guru besar berkenaan.
iNED dan UiTM Turut Bertanggungjawab
Mahkamah turut mendapati iNED dan UiTM bertanggungjawab kerana gagal menyediakan pegawai pengiring atau fasilitator pada hari kejadian.
Seorang kakitangan UiTM dan fasilitator pelajar dilaporkan telah ditugaskan untuk mengiringi murid serta memberikan taklimat keselamatan sepanjang perjalanan, namun mereka tidak hadir.
Nik Hasmani sebelum itu menuntut masing-masing RM1 juta sebagai ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Bagaimanapun, kedua-dua tuntutan berjumlah keseluruhan RM2 juta itu ditolak oleh mahkamah.
Mohd Rosli turut menyatakan simpati kepada keluarga Adam atas tragedi dan kehilangan yang dialami.
Namun, beliau menjelaskan bahawa mahkamah tidak boleh menentukan keputusan atau jumlah ganti rugi berdasarkan simpati, sebaliknya terikat kepada fakta, undang-undang serta keputusan mahkamah lebih tinggi terdahulu.
Sumber: Berita Harian
