Malaysia Tidak Akan Pulangkan 5,000 Rohingya Jika Berdepan Ancaman

Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian Rohingya ke Myanmar sekiranya terdapat risiko mereka akan dizalimi atau nyawa terancam.

Pendirian itu dibuat meskipun kerajaan Myanmar menyatakan kesediaan untuk menerima 5,000 pelarian dari Malaysia.

Menurut laporan Sinar Harian, Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Wisma Putra akan meneliti beberapa perkara terlebih dahulu termasuk aspek keselamatan dan identiti pelarian yang terlibat sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan.

“Semestinya Malaysia sebagai sebuah negara bertanggungjawab tidak akan menghantar pulang sekiranya 5,000 orang pelarian Myanmar ini (berisiko) sama ada akan dizalimi ataupun nyawa mereka akan terancam.

“Jadi, ada beberapa perkara yang kita akan teliti dahulu dalam perbincangan dengan kerajaan junta di Myanmar sebelum kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya pada Rabu.

Kriteria akan diteliti terlebih dahulu

Fahmi berkata, kerajaan Myanmar telah menyatakan kesediaan untuk menerima 5,000 pelarian terbabit, namun Malaysia masih perlu meneliti kriteria yang ditetapkan sebelum sebarang proses penghantaran dilakukan.

“Apa yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim 5,000 orang pelarian Myanmar ini pihak kerajaan junta di Myanmar sedia untuk menerima, tetapi kita akan teliti apakah kriteria dan sekiranya sesuai, kita akan laksanakan tetapi Perdana Menteri mengambil maklum bahawa kita tidak boleh menghantar sekiranya nyawa mereka terancam,” jelas beliau.

Ketika ini, kira-kira 190,000 pelarian dan pemohon suaka difahamkan berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

Lebih 80 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada etnik Rohingya dan kumpulan etnik lain dari Myanmar.

Isu kehadiran pelarian Rohingya di negara ini sering mendapat perhatian masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk berkaitan penempatan mereka di beberapa lokasi.

Turut dibangkitkan ialah dakwaan persaingan mendapatkan pekerjaan berpendapatan rendah serta kebimbangan berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!