Lelaki Ditembak Ketika Hendak Masuk Kereta Selepas Beli Telur

Seorang lelaki berusia 38 tahun cedera selepas dipercayai ditembak oleh seorang lelaki bertopeng ketika hendak memasuki keretanya di kawasan komersial Sri Tambun, Simpang Ampat, Pulau Pinang pada Isnin.

Menurut laporan Sinar Harian, kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku selepas mangsa selesai bersenam sebelum singgah membeli telur di sebuah premis berhampiran. Mangsa dilaporkan terkena satu das tembakan pada bahagian tangan kanan sebelum dikejarkan ke hospital dan kini berada dalam keadaan stabil.

Polis turut memaklumkan bahawa mangsa dipercayai mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, manakala siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan suspek yang melarikan diri sejurus selepas insiden.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Menurut laporan Berita Harian, mangsa dikatakan baru keluar dari sebuah gimnasium sebelum singgah di kedai serbaneka dalam bangunan sama untuk membeli telur.

Ketika hendak memasuki kereta, seorang lelaki bertopeng memakai jaket hitam dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.

Mangsa kemudian berlari mendapatkan perlindungan di sebuah kedai makan berhampiran, namun suspek dipercayai terus mengejar sebelum melepaskan beberapa lagi das tembakan.

Salah satu peluru dipercayai mengenai tangan kanan mangsa, manakala suspek dilaporkan melepaskan sekurang-kurangnya lima das tembakan sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!