KPDN Kelantan Tumpaskan Cubaan Seludup Lebih 10,000 KG Minyak Masak Bersubsidi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 10,200 kilogram minyak masak paket bersubsidi yang dipercayai cuba dibawa ke negara jiran menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu) di Kampung Pauh 9, Bachok, awal pagi tadi.

Menurut kenyataan KPDN Kelantan, operasi pada jam 6.30 pagi itu berjaya mengesan dan menahan empat buah kenderaan, termasuk sebuah lori kargo yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Ketika serbuan dijalankan, beberapa individu dipercayai sedang memunggah minyak masak paket bersubsidi daripada sebuah lori ke tiga buah kenderaan lain sebelum mereka melarikan diri ke kawasan semak sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

Bagaimanapun, seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori berjaya ditahan.

Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa 600 kotak minyak masak paket bersubsidi satu kilogram, melibatkan keseluruhan 10,200 kilogram minyak masak.

Kpdn Kelantan rampas minyak masak bachok

Foto: KPDN Kelantan


Siasatan awal mendapati sindiket menggunakan pekarangan sebuah rumah sebagai lokasi transit sebelum bekalan minyak masak dipindahkan ke beberapa kenderaan lain pada awal pagi bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bekalan minyak masak itu dipercayai dibawa dari Lembah Klang ke Kelantan sebelum cuba diseludup ke negara jiran.

Turut disita ialah sebuah lori kargo tiga tan jenis Isuzu, sebuah Proton Waja serta dua buah Mitsubishi Pajero yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

Nilai rampasan minyak masak paket bersubsidi dianggarkan RM25,500, manakala nilai keseluruhan sitaan termasuk kenderaan dianggarkan RM110,500.

Serbuan itu dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan anggota penguat kuasa yang mengesyaki lori berkenaan digunakan sebagai pengangkutan untuk menyeludup barang kawalan bersubsidi.

Kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki dan cuba menyeleweng barang kawalan bersubsidi tanpa kebenaran yang sah.

Dalam perkembangan sama, KPDN Kelantan memaklumkan bahawa sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2026, sebanyak 104 kes melibatkan penyelewengan minyak masak paket bersubsidi telah direkodkan di negeri ini.

Sepanjang tempoh tersebut juga, sebanyak 72,886 kilogram minyak masak paket bersubsidi berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan RM178,836.30.

Sumber: KPDN Kelantan

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!