RANTAU PANJANG – Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang merekodkan sebanyak 37,413 pergerakan keluar masuk sepanjang tempoh 12 hingga 16 September lalu.
Menurut Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Rantau Panjang, Bakri Sulaiman, daripada jumlah itu, 16,704 merupakan kemasukan manakala 20,709 adalah pergerakan keluar.
“Secara purata, jumlah keluar masuk di ICQS Rantau Panjang kebiasaannya sekitar 3,000 hingga 4,000 orang sehari.
“Namun pada 13 September (Sabtu), kita catatkan 2,903 masuk dan 4,384 keluar, manakala pada 14 September (Ahad) jumlah keluar meningkat kepada 4,648 orang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Bakri berkata, peningkatan ketara itu berlaku berikutan cuti persekolahan dan cuti umum sempena Hari Malaysia.
Beliau menegaskan, AKPS bersama agensi keselamatan lain akan terus memperketat kawalan bagi memastikan kelancaran urusan serta keselamatan pengunjung di pintu masuk sempadan.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama
