Konvoi bantuan Gaza: 9 kapal sudah berlayar masuk ke wilayah di kepung israel

TUNIS – Sebuah konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Selasa mengumumkan bahawa mereka telah menghantar sembilan kapal ke wilayah yang dikepung Israel, sebagai usaha memecahkan sekatan berbulan-bulan ke atas penduduk Palestin, lapor Anadolu.

Menurut Flotila Sumud Maghreb, enam lagi kapal – Mawal, Qaysar, Florida, Tiko, Saada dan Tamar – kini dalam persiapan untuk belayar ke enklaf berkenaan.

“Kami telah menghantar sembilan kapal, termasuk kapal Yaman yang berlepas pada Isnin malam,” kata Ahli Jawatankuasa Penganjur, Nabil Chenoufi.

Inisiatif Afrika Utara itu merupakan sebahagian daripada flotila antarabangsa melibatkan hampir 50 kapal yang membawa aktivis dari Eropah, Amerika Latin, Amerika Syarikat, Pakistan, India serta Malaysia.

Chenoufi menjelaskan misi ini bertujuan “menghantar sebanyak mungkin kapal bagi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza dan mewujudkan laluan selamat untuk bantuan kemanusiaan.”

Sementara itu, seorang lagi penganjur, Wael Nawar, melalui mesej video dari atas kapal Der Yassin berkata: “Kami kini berada di perairan antarabangsa, menghampiri perairan Itali. Kapal-kapal kami belayar rapat untuk bertemu flotila dari Sepanyol dan Itali. Perjalanan ke Gaza dijangka mengambil masa sekitar lapan hari.”

Menjelang Ahad malam, 16 kapal telah belayar dari pelabuhan Tunisia termasuk Gammarth, Sidi Bou Said dan Bizerte, kata ahli jawatankuasa Khaled Boujemaa. Kapal pertama berlepas dari Bizerte pada Sabtu, selepas flotila lain memulakan perjalanan dari Barcelona hujung Ogos dan Genoa pada 1 Sept. Pada 7 Sept, kumpulan dari Eropah tiba di perairan Tunisia untuk menyertai misi ini.

Berbeza dengan percubaan terdahulu yang hanya menggunakan sebuah bot dan akhirnya dipintas Israel, konvoi kali ini adalah yang terbesar pernah dianjurkan dengan matlamat menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel dilaporkan telah membunuh hampir 65,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melalui serangan berterusan di Gaza. Pengeboman itu menyebabkan wilayah berkenaan musnah, tidak lagi sesuai dihuni, serta mencetuskan kebuluran dan penyebaran penyakit.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

Rezeki Haji Sekeluarga, Isteri Simpan Hasil Toreh Getah Suami Jual Lembu Demi Ke Tanah Suci
|
Rezeki menunaikan haji tahun ini benar-benar menjadi kenangan paling…
Kutipan Zakat MAIK 2025 Cecah RM354.6 Juta, Tertinggi Dalam Sejarah Kelantan
|
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)…
Abang Ipar Upah RM15 Satu “Trip” Seludup Petrol Ke Thailand
|
Taktik licik penyeludup yang membuat pembelian petrol secara berulang…
Dua Remaja Perempuan Mengaku Jadi Pengintip Tekong Darat Seludup PATI
|
Dua remaja perempuan dipercayai berperanan sebagai pengintip kepada tekong…
1,000 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Sandakan, PM Arah Bantuan Segera
|
Kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Sandakan…
Tujuh Lelaki Didakwa Pakai Pakaian Wanita Di Apartment Jalan Mahmood
|
Tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini…
Jawatan Kosong Kelantan