Suasana pasar malam di Lundang di Kota Bharu mencuri perhatian apabila para peniaga dilihat menghentikan sementara urusan jual beli untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Perkara itu dikongsikan menerusi Threads oleh pengguna @ameerunimisairi yang menyatakan semua peniaga “tinggal gerai” seketika apabila masuk waktu Maghrib, sebelum menyambung semula perniagaan selepas selesai solat.
Menurut perkongsian tersebut, suasana berkenaan memberi gambaran budaya yang mengutamakan keseimbangan antara urusan dunia dan akhirat, selain mencetuskan rasa kagum dalam kalangan orang ramai yang melihatnya sebagai amalan yang semakin menjadi kebiasaan di pasar malam berkenaan.
Dalam ruangan komen, beberapa pengguna turut menyatakan penghargaan terhadap pendekatan pihak berkuasa tempatan yang didakwa memberi ruang kepada peniaga untuk berhenti seketika bagi menunaikan solat.
Ada juga yang berkongsi pengalaman melihat peniaga menutup lampu gerai serta berhenti berniaga apabila azan berkumandang, sebelum kembali membuka perniagaan selepas selesai solat berjemaah.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang menyifatkan ia sebagai satu budaya yang wajar diteruskan dalam memastikan keseimbangan kehidupan harian masyarakat.
Sumber: Threads | @ameerunimisairi
SHARE:
