Kegiatan warga Thailand yang membeli minyak masak dan gula di sekitar pekan Rantau Panjang sebelum menyeludup keluar barangan kawalan itu ke Thailand berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu operasi pada Isnin.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan di Kampung Parit Air di sini kira-kira jam 5 petang.
Menurut beliau, anggota Strike Force Kompeni A Batalion 8 PGA mengesan sebuah motosikal Honda Wave bernombor pendaftaran Thailand dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan dilakukan.
“Penunggang motosikal itu dilihat membawa beberapa bungkusan plastik sebelum bertindak berpatah balik sebaik menyedari kehadiran anggota PGA.
“Anggota kemudian mengejar hingga ke kawasan semak di Kampung Parit Air sebelum mendapati motosikal itu ditinggalkan di tepi jalan,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan di kawasan sekitar bagaimanapun gagal menemukan suspek yang dipercayai melarikan diri ke kawasan berhampiran.
Hasil pemeriksaan ke atas motosikal tersebut menemukan barangan kawalan berupa 51 kilogram minyak masak dan 36 kilogram gula yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand.
Ahmad Radzi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk motosikal dianggarkan berjumlah RM2,217.50.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati bekalan minyak masak dan gula itu dipercayai dibeli di kedai sekitar Rantau Panjang sebelum dikumpulkan untuk dibawa keluar melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
“Barangan ini dipercayai mempunyai permintaan tinggi di Thailand dan diseludup menggunakan laluan tikus bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, kes tersebut telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
