Seorang wanita antara tujuh individu yang didenda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Tumpat hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru sekolah memandu pada Mei lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Azli Mamat, 48; Mohd Azaki Mamat, 42; Mohd Khadri Ghani, 52; Ahmad Faizal Juhari, 35; Muhammad Alif Hakimi Abd Hamid, 22; Muhammad Izzat Romli, 25; dan Nor Hasida Mamat, 38, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Berkumpul Dengan Tiga Kenderaan
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama menjadi ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang dan menggunakan kekerasan dalam tujuan bersama sehingga menyebabkan kejadian merusuh.
Kejadian berlaku di Akademi Memandu SKMS, Berangan di sini kira-kira jam 4.30 petang pada 24 Mei lalu.
Insiden Berpunca Salah Faham
Berdasarkan fakta kes, seorang guru akademi memandu didatangi sekumpulan individu yang datang dengan tiga kenderaan untuk berbincang.
Difahamkan, guru tersebut didakwa ada mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan seorang pelajar perempuan sebelum keadaan bertukar tegang.
Situasi bertukar menjadi pergaduhan apabila mangsa berasa takut selepas melihat salah seorang individu bertindak agresif, sebelum berlaku serangan yang menyebabkan guru tersebut dipukul di muka dan seluruh badan.
Hukuman Denda RM2,000
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 setiap seorang atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Kesemua tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut.
Guru Memandu Mengaku Tidak Bersalah
Dalam perbicaraan pada hari sama di Mahkamah Majistret Tumput, guru sekolah memandu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa boleh menimbulkan kemarahan terhadap seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun.
Tertuduh, Mohamad Azwani Husin, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa mengeluarkan kenyataan berbunyi, "gerei la, kalau nak tiyok, tiyok kat peha saya" (geram la, kalau nak menangis, menangis dekat paha saya) kepada mangsa.
Didakwa Berlaku Di Akademi Memandu
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Akademi Memandu SKMS Berangan kira-kira jam 10 pagi pada 23 Mei lalu.
Berdasarkan pertuduhan, kenyataan tersebut didakwa boleh menyebabkan berlakunya kesalahan merusuh.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 153 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Jaminan RM2,500
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd Ariff, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshalizawati Muhammad.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Julai depan.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
