Kegembiraan tujuh sekeluarga yang baru menerima sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 bertukar tragedi apabila enam daripada mereka maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah lori tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah petang tadi.
Dalam kejadian itu, enam mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.46 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, kemalangan membabitkan sebuah lori tanah bermuatan 10 tan dan sebuah Proton X50 yang dinaiki tujuh individu termasuk seorang bayi.
Baru Ambil Kereta Pada Hari Sama
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 27, yang memandu kenderaan itu, adiknya Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, Nora Mhd Husin, 55, dan Jamaliah Sannusi, 27.
Turut terkorban ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun serta seorang bayi berusia enam bulan.
Seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, dilaporkan cedera parah.
Menurut ahli keluarga, Proton X50 itu merupakan milik Ahmad Fahim dan baru sahaja diambil dari sebuah pusat jualan di Juru, Pulau Pinang kira-kira jam 11 pagi pada hari kejadian.
Difahamkan, keluarga terbabit dalam perjalanan ke Merbok dan sempat menziarahi pusara bapa mereka sebelum kemalangan berlaku.
Anak Ikut Pada Saat Akhir
Lebih menyayat hati, abang ipar kepada Ahmad Fahim, Ibrahim Ghazali, memaklumkan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun yang turut terkorban sebenarnya membuat keputusan pada saat akhir untuk mengikuti perjalanan menaiki kenderaan baharu itu.
Menurutnya, keluarga berkenaan begitu gembira sejak pagi untuk mengambil kereta baharu tersebut malah sempat merakam gambar kenangan bersama kenderaan itu.
Namun kegembiraan itu hanya bertahan beberapa jam sebelum bertukar menjadi tragedi yang meragut enam nyawa dalam sekelip mata.
Siasatan Diteruskan
Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar apabila ahli keluarga berkumpul bagi menunggu proses bedah siasat selesai.
Difahamkan, pemandu Proton X50 berkenaan merupakan anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Pulau Pinang.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sumber: Harian Metro, Bernama
SHARE
