Kerajaan Kelantan menyambut baik pembangunan bangunan baharu Hospital Pakar KPJ Perdana yang disifatkan sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem kesihatan negeri serta meningkatkan kapasiti perkhidmatan perubatan untuk rakyat.
Melalui kenyataan Menteri Besar Kelantan, Dato' Haji Mohd Nassuruddin Daud di media sosial, akses kepada kemudahan kesihatan berkualiti merupakan antara keutamaan dalam usaha membina kesejahteraan rakyat.
Foto: DPP Official Media
Menurut beliau, kemudahan perubatan moden, kepakaran doktor dan perkhidmatan kesihatan yang cekap bukan sahaja mampu meningkatkan taraf kesihatan masyarakat, malah memberi keyakinan kepada rakyat untuk mendapatkan rawatan terbaik tanpa perlu keluar dari negeri.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembangunan Bangunan Baharu KPJ Healthcare Berhad di Kota Bharu pada Khamis.
Perkukuh Ekosistem Kesihatan Negeri
Mohd Nassuruddin berkata, pembangunan tersebut merupakan satu lagi langkah signifikan dalam memperkukuh sektor kesihatan di Kelantan seiring dengan keperluan rakyat yang semakin meningkat.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelaburan strategik yang mampu memberi nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat serta merancakkan pembangunan ekonomi negeri.
Foto: DPP Official Media
Menurut beliau, inisiatif berkenaan juga selaras dengan aspirasi Penghayatan Membangun Bersama Islam yang menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal, ekonomi dan kesejahteraan insan.
Pemangkin Perkhidmatan Kesihatan Lebih Berkualiti
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KPJ Healthcare Berhad, Hospital Pakar KPJ Perdana dan PKINK atas komitmen berterusan dalam memacu pembangunan sektor kesihatan di negeri itu.
Katanya, projek tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih cemerlang serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Kelantan dan seluruh Pantai Timur
SHARE:
