Dewan di Kompleks Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa yang merupakan milik Pas mengalami kebakaran pada malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, dewan berkeluasan 37.16 meter persegi berkenaan mengalami kemusnahan sekitar 10 peratus dan tidak melibatkan sebarang mangsa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Fadhely Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.13 malam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Api Berjaya Dikawal Dalam Masa Singkat
Menurut beliau, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira 18 minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah dewan di kompleks berkenaan.
"Sebaik tiba, anggota mendapati berlaku kebakaran pada sebuah dewan dan terus menjalankan operasi pemadaman.
"Api berjaya dikawal pada jam 10.39 malam dan kebakaran hanya memusnahkan kira-kira 10 peratus struktur dewan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
20 Anggota Bomba Terlibat
Beliau berkata, seramai 20 anggota daripada BBP Pengkalan Chepa terlibat dalam operasi tersebut bersama empat jentera dan sebuah lori tangki air.
Sementara itu, Penyelia PUTIK, Raja Roslan Raja Yaacob memaklumkan beliau mengetahui mengenai kejadian berkenaan selepas menerima panggilan daripada pengawal keselamatan sekitar jam 9.30 malam.
Menurutnya, kebakaran itu hanya menyebabkan kerosakan kecil dan dipercayai berpunca daripada litar pintas.
"Ia hanya melibatkan kemusnahan kecil sahaja dan kebakaran dipercayai disebabkan litar pintas," katanya.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
