Cucu terlanggar tong petrol, nenek melecur 80 peratus rumah terbakar

Seorang warga emas mengalami kecederaan parah apabila melecur kira-kira 80 peratus di bahagian badan selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Chuchuh Puteri B, Kuala Krai, pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 1 tengah hari itu, mangsa, Rusiah Deraman, 72, dilaporkan telah ditidurkan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra. Anak perempuannya turut cedera apabila melecur di bahagian kaki.

Jiran mangsa, Shazwaniey Zahari, 34, berkata kejadian disedari ketika dia dan suaminya, Muhamad Sulaiman Hashim, 36, hendak keluar membeli makanan tengah hari.

“Semasa suami hendak mengundurkan kereta, kami nampak asap tebal keluar dari rumah nenek Rusiah. Tidak lama kemudian, kami dengar jeritan meminta tolong,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mereka bergegas ke rumah berkenaan dan mendapati hampir seluruh badan Rusiah terbakar kecuali bahagian dada.

“Suami terus menarik dan mendukung nenek Rusiah keluar kerana keadaan rumah berbukit menyukarkan pergerakan, tambahan pula kesihatannya memang uzur,” ujarnya.

Rusiah kemudiannya dibawa ke hospital oleh suaminya untuk rawatan kecemasan. Shazwaniey pula membawa cucu lelaki mangsa ke rumahnya untuk dimandikan selepas badan kanak-kanak itu terkena minyak petrol yang tumpah.

Katanya, berdasarkan cerita Rusiah, kejadian berlaku apabila cucunya yang bermain di hadapan rumah terlanggar tong berisi minyak petrol sehingga terjatuh, pecah dan tertumpah.

“Kebetulan nenek Rusiah baru selesai membakar sampah di hadapan rumah. Api daripada pembakaran itu dipercayai menyambar minyak petrol yang tumpah sebelum merebak ke rumah,” katanya.

Dalam kejadian itu, dua anak perempuan Rusiah, seorang menantu lelaki serta tiga cucu terpaksa menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap dapur selepas bahagian hadapan rumah hangus terbakar.

Suami Rusiah pula tidak berada di rumah ketika kejadian kerana menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Nik Ahmad Asham Nik Pa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.13 tengah hari.

“Seramai 11 anggota dan pegawai termasuk bomba bantuan dikejarkan ke lokasi bagi operasi memadam kebakaran dan menyelamat,” katanya.

Menurut beliau, setibanya di lokasi, Komander Operasi melaporkan dua mangsa wanita mengalami kecederaan melecur, melibatkan seorang warga emas dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an.

“Kedua-dua mangsa telah dibawa ke hospital oleh jiran untuk rawatan lanjut,” katanya.



Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Tular Caj RM30 Baiki Kalkulator, KPDN Serbu Premis Di Kota Bharu Untuk Siasatan
|
Isu caj baiki kalkulator yang dimasuki air sehingga mencecah…
Remaja 18 Tahun Ditahan, Bawa PATI Guna Kenderaan Pikap Milik Abang
|
Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sanggup meredah risiko…
Suami Isteri Dera Anak Saudara Usia 10 Tahun Direman 7 Hari Di Machang
|
Suami isteri yang ditahan semalam kerana disyaki melakukan penderaan…
Dulu Bergelumang Najis, Abbe Hae Kongsi Perkembangan Terbaru Pak Din
|
Kisah seorang warga emas yang pernah tular sebelum ini…
Kakitangan Kerajaan Negeri Kelantan Bebas Rasuah, Tiada Yang Didakwa SPRM
|
Kerajaan negeri Kelantan menegaskan bahawa tiada seorang pun kakitangannya…
Mahkamah Tolak Permohonan Reman 4 Suspek Kes Tembak Penjaga Lembu Felda Kemahang 1
|
Mahkamah Majistret Tanah Merah hari ini menolak permohonan reman…
Jawatan Kosong Kelantan