Kegiatan penyeludupan petrol yang didalangi seorang lelaki warga Thailand sejak tiga tahun lalu akhirnya tumpas selepas pasukan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat lelaki dalam satu serbuan di Pangkalan Haram Tualang, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Kesemua suspek termasuk tiga warga tempatan ditahan pada Selasa jam 10.37 pagi ketika sedang memindahkan petrol dari kenderaan di lokasi berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya terlebih dahulu melakukan pemerhatian selama kira-kira 30 minit sebelum melakukan serbuan di stor terbabit.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, dua lelaki sedang menyedut petrol dari tangki kenderaan ke dalam tong plastik, manakala beberapa lagi individu berada di kawasan sekitar stor dan tebing Sungai Golok.
"Kami merampas hos getah, pam angin, 140 liter petrol dan wang tunai berjumlah RM4,800 dipercayai hasil jual beli petrol, selain dua kenderaan," katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati dua lelaki tempatan berusia 32 dan 55 tahun bertindak membeli petrol dari stesen minyak berhampiran sebelum dijual kepada sindiket di stor berkenaan.
Katanya, stor tersebut disewa pada kadar RM700 sebulan dan diuruskan oleh seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang dibayar upah harian.
Menurutnya lagi, petrol berkenaan diperoleh dari stesen minyak di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor dengan kekerapan kira-kira tiga kali sehari sebelum diseludup ke Thailand melalui Sungai Golok.
Tambah beliau, suspek warga Thailand berusia 58 tahun dipercayai sudah terlibat dalam kegiatan tersebut sejak tiga tahun lalu.
"Lelaki warga Thailand yang berusia 58 tahun itu disyaki sudah terbabit dengan penyeludupan petrol sejak tiga tahun lalu, yang mana dia membeli petrol pada harga RM4.40 per liter bersamaan RM131 bagi setiap tong berisi 30 liter.
"Dia kemudian sebelum menjualnya di Thailand pada harga RM134. Sehari dia mampu membeli serta menjual sebanyak 60 tong," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
