KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan demonstrasi jalanan bukanlah medan untuk menunjukkan kekuatan, sebaliknya wadah rakyat menyampaikan pandangan dan teguran secara aman.
Bekas Menteri Pertahanan itu yang pernah menjadi komandan dalam perhimpunan Bersih 1 hingga Bersih 5 berkata, pesanan beliau kepada petugas dan peserta tidak pernah berubah, iaitu menjaga tata tertib serta mengelakkan sebarang bentuk kekacauan sepanjang demonstrasi.
“Kita turun bukan nak tunjuk kekuatan, tapi nak tunjuk perasaan. Sebab itu saya selalu pesan, jangan usik harta orang, jangan baling batu, jangan rosakkan apa-apa. Kalau boleh, pasu bunga pun jangan terbalik. Kalau rasa ada perkara tak kena, kita lawan di mahkamah, bukan dengan tangan atau kaki,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Mohamad, beliau sendiri pernah ditahan banyak kali ketika menyertai demonstrasi, namun hubungan dengan pihak polis kekal baik kerana mereka hanya menjalankan tugas.
“Kita tak pernah anggap polis itu musuh. Mereka buat kerja mereka, kita buat kerja kita. Sampai sekarang hubungan saya dengan polis baik, kita hormat mereka sebab mereka hanya menjalankan tugas,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend baharu yang menyaksikan sesetengah tunjuk perasaan bertukar ganas sehingga menimbulkan risiko rusuhan atau pertumpahan darah.
“Kalau jadi rusuhan, kalau tumpah darah sesama rakyat atau dengan anggota keselamatan, apa untungnya? Tak ada siapa yang dapat faedah, negara pula yang rugi,” katanya lagi.
Mohamad menegaskan demonstrasi perlu dikawal sejak awal supaya tidak bertukar menjadi ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara.
“Kita turun ke jalan bukan untuk pukul orang, bukan untuk lawan polis, tapi untuk sampaikan suara, teguran dan pandangan. Itu sahaja,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas insiden membabitkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi yang cedera di kepala semasa operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru pada khamis.
#KelantanDaily
