Pemenang kasut emas Liga A1 Semi Pro, Emmanuel Mbarga memberi bayangan bersedia untuk terus kekal bersama Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Penyerang import berbisa itu berkata, keputusan sama ada kekal atau berhijrah masih bergantung kepada hasil perbincangan bersama pihak pengurusan pasukan.
“Saya ada menerima tawaran kontrak baharu, jadi perkara itu masih dalam perbincangan.
“Sama ada kekal atau berhijrah, saya masih belum tahu tetapi kami masih dalam perbincangan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam KRW FC di sini malam Ahad.
Pecah Rekod Jaringan Liga A1
Pada majlis sama, Mbarga turut menerima anugerah kasut emas daripada Liga Bola Sepak Amatur selepas muncul penjaring terbanyak Liga A1 Semi Pro musim ini.
Sepanjang kempen liga, pemain itu meledak 32 gol sekali gus memadam rekod jaringan milik Fakrul Zaman Abdullah Zawawi yang dicatatkan pada tahun 2019.
Mbarga mengakui dia sendiri tidak menyangka mampu meraih anugerah tersebut kerana pada awal musim hanya menyasarkan satu atau dua gol sahaja.
“Saya mula menjaringkan banyak gol kerana mempunyai pasukan dan rakan sepasukan yang baik.
“Sebelum ini saya tidak mengejar gelaran penjaring terbanyak, tetapi ia datang sendiri kepada saya hasil bantuan seluruh pasukan.
“Jadi saya sangat gembira dan berterima kasih kepada seluruh pasukan, jurulatih, staf, presiden dan semua orang,” katanya.
Jadi Tonggak Penting KRW FC
Prestasi konsisten Mbarga sepanjang musim menjadikan beliau antara tonggak utama kebangkitan KRW FC yang menamatkan saingan Liga A1 Semi Pro di kedudukan keempat.
Penyokong kini pastinya berharap penyerang import itu terus kekal bersama pasukan sekiranya KRW FC berjaya beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
