Kelantan dijangka kembali sesak apabila hampir satu juta kenderaan diramal memasuki negeri ini sempena cuti panjang Hari Raya Aidiladha, bermula 27 Mei ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, kemasukan kenderaan perantau dijangka bermula Jumaat ini, susulan ramai yang pulang ke kampung untuk beraya dan melaksanakan ibadah korban bersama keluarga.
Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhemah dan mematuhi undang-undang bagi mengelakkan kemalangan serta memastikan perjalanan lancar.
“Pengguna jalan raya perlu mematuhi had laju, lampu isyarat, tidak memotong di garisan berkembar, tidak memandu di lorong kecemasan, memakai tali pinggang keselamatan atau topi keledar dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Kota Bharu, semalam.
187 Anggota JPJ Digembleng Dalam Ops Aidiladha
Bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh sepanjang tempoh perayaan, JPJ Kelantan akan melaksanakan Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026 bermula 24 hingga 31 Mei.
Mohd. Misuari berkata, seramai 187 anggota penguat kuasa akan digerakkan melibatkan 33 buah kenderaan dan 50 pasukan operasi terdiri daripada semua bahagian termasuk JPJ cawangan serta stesen penguat kuasa.
Fokus 10 Koridor Utama Dan 38 Lokasi Blackspot
Menurut beliau, operasi itu turut melibatkan kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) khususnya bagi pemeriksaan pemandu bas ekspres.
JPJ juga akan menjalankan rondaan di semua jalan persekutuan dan negeri, dengan memberi tumpuan kepada 10 koridor utama trafik serta 38 kawasan blackspot kemalangan berdasarkan data pihak polis.
Katanya, peningkatan kenderaan dijangka lebih ketara kerana cuti musim perayaan kali ini bertindih dengan kepulangan perantau untuk menyertai ibadah korban di kampung.
Sumber: Kosmo
SHARE:
