Kelantan Derby: KRW Tetap Garang Dengan 10 Pemain, Tewaskan Kelantan WTS 2-0

Meskipun terpaksa mengharungi perlawanan dengan 10 pemain, Kelantan Red Warrior FC tetap membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri apabila menewaskan Kelantan WTS FC 2-0 dalam aksi derbi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kemenangan itu hadir dalam suasana penuh semangat di hadapan lebih 3,500 penyokong yang membanjiri stadium, sekali gus menjadi suntikan moral besar buat skuad Perwira Merah kendalian Irfan Bakti.

Kad Merah Latiff Uji Ketahanan Perwira Merah

Kelantan Red Warrior berdepan detik mencabar apabila pertahanan tengah, Latiff Suhaimi dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan penyerang Kelantan WTS FC.

Insiden tersebut berlaku seminit sebelum tamat babak pertama, memaksa tuan rumah meneruskan baki permainan dengan kekurangan seorang pemain.

Kelantan WTS FC sebelum itu mempamerkan aksi pantas yang hampir mengejutkan tuan rumah pada awal permainan.

Dua Import Jadi Penentu Kemenangan

Bagaimanapun, Kelantan Red Warrior akhirnya membuktikan kualiti sebenar apabila dua pemain import mereka, Phillip Dandada Musa dan Emmanuel Mbarga muncul wira dengan jaringan pada babak kedua.


Gol pertama Perwira Merah hadir pada minit ke-65 hasil serangan balas pantas.

Situasi itu bermula apabila Faiz Nasir bijak melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melakukan lorongan cantik yang disudahkan Phillip Dandada Musa untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.


Kelantan Red Warrior kemudian mengesahkan kemenangan pada minit ke-82 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Emmanuel Mbarga selepas dia sendiri dikasari dalam kotak penalti.

Irfan Bakti Puji Semangat Juang Pemain

Ketua jurulatih Kelantan Red Warrior, Irfan Bakti nyata gembira dengan kemenangan tersebut dan memuji semangat juang pemainnya yang kekal fokus sehingga ke wisel penamat.

“Kredit kepada semua pemain yang beraksi dengan 10 pemain kerana memberi sumbangan yang cukup hebat,” katanya selepas perlawanan.

Kedudukan liga a1 semi pro minggu ke 28

KRW semakin menjarakkan diri dengan pencabar terdekat untuk memburu tiket ke Liga Super musim hadapan



Kemenangan 2-0 itu juga menyaksikan Kelantan Red Warrior berjaya mengutip tiga mata penuh selain mengekalkan rekod tanpa bolos dalam pertembungan setempat berkenaan.


Sumber: Kelantan Red Warrior FC

SHARE:

TERKINI

Bayi 11 Bulan Meninggal Dunia Selepas Terjatuh Dari Kerusi Di Rumah Pengasuh
|
Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan disahkan meninggal dunia…
Tujuh Beranak Di Tumpat Lega Gangguan Mistik Hilang Selepas Sebulan
|
Sebuah keluarga tujuh beranak di Kampung Kutan Sungai, Tumpat…
SMKA Naim Lilbanat Sekolah Pertama Di Kelantan Miliki Kelas Berasaskan AI
|
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu…
Durian Serendah RM1.30 Sekilo Di Tumpat, Harga Esok Ditentukan Pembeli
|
Lambakan durian musim ini memberi rezeki kepada pencinta raja…
Suami Tetak Isteri Guna Parang Sebab Tegur Jiran Lelaki
|
Seorang suri rumah berusia 40 tahun cedera parah selepas…
KRW FC Terima Suntikan Penajaan Baharu Daripada Raja Perfume
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) terus menerima sokongan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!