Seorang murid perempuan Tahun Dua maut selepas dipercayai dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat pada tengah hari Selasa.
Mangsa, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, dipercayai dilanggar ketika pulang dari sekolah kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Difahamkan, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Menurut maklumat, sebelum kejadian mangsa baru selesai sesi persekolahan sebelum bergerak keluar melalui pintu pagar sekolah.
Secara kebetulan, van terbabit juga keluar dari kawasan sekolah selepas menghantar barang namun pemandu dipercayai tidak menyedari kehadiran mangsa sebelum merempuhnya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
“Kenyataan berhubung kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebaik siasatan awal selesai,” katanya ketika dihubungi.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
