Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan mengurniakan kurniaan peribadi kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang menghidap penyakit hidrosefalus di Tanah Merah.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Media Pejabat Sultan Kelantan, penerima kurniaan tersebut ialah Muhammad Faris Irfan bin Mohd Zulkarnain yang kini tinggal bersama neneknya, Rokiah binti Musa, 54, di Kampung Mukim Bendang Nyiur, Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan.
Difahamkan, kurniaan tersebut merupakan kali kedua daripada YMM Pemangku Raja Kelantan kepada Muhammad Faris.
Adik Faris kini tinggal bersama neneknya di Kampung Mukim Bendang Nyiur, Bukit Panau, Tanah Merah. (Foto: Media Pejabat Sultan Kelantan)
Sebelum ini, baginda telah berkenan mengurniakan sebuah kerusi roda elektrik bagi memudahkan pergerakan kanak-kanak itu dalam menjalani kehidupan harian.
Kurniaan berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Jajahan Tanah Merah, Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin dan Setiausaha Sulit kepada YMM Pemangku Raja Kelantan, Abdul Azim Zulkifli.
Turut hadir dalam majlis penyerahan itu ialah Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Mohamed Safaruddin Ismail; Ketua Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan) PTJ Tanah Merah, Amir Faisal Makhtar; Pegawai Tadbir (Media) Pejabat Sultan Kelantan, Mohd Haikal Mat Deris serta Penggawa Daerah Bukit Panau dan Penghulu Mukim.
Dalam pada itu, YMM Tuanku turut menitipkan doa agar Muhammad Faris dan keluarganya sentiasa dikurniakan kesejahteraan serta dilimpahi rahmat dan kebaikan oleh Allah SWT.
Sumber: Media Pejabat Sultan Kelantan
SHARE:
