‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan

‘Lebih Melayu Daripada Melayu’

Nama Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong bukan asing dalam dunia akademik negara, khususnya dalam isu berkaitan bahasa Melayu. Namun tidak ramai tahu bahawa tokoh linguistik terkenal itu sebenarnya lahir dan membesar di Kelantan.

Dilahirkan pada 22 Mei 1953 di Wakaf Bharu, Tumpat, Kok Seong membesar dalam kelompok masyarakat Melayu sehingga kehidupan hariannya sejak kecil cukup dekat dengan budaya dan cara hidup orang Kelantan.

Menurut beliau, situasi itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana majoriti penduduk Kelantan adalah orang Melayu, menyebabkan kaum lain termasuk masyarakat Cina Peranakan banyak bergaul rapat dengan masyarakat setempat.

“Di Kelantan itu bukan luar biasa jika fasih berbahasa Melayu Kelantan dan kami memang mengamalkan budaya Melayu Kelantan,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa dalam kalangan Cina Peranakan di Kelantan, identiti budaya mereka juga banyak dipengaruhi adat Melayu dan sedikit unsur Siam.

Malah, dalam sambutan Tahun Baharu Cina, hidangan seperti nasi kerabu, laksam dan makanan tradisi Kelantan juga menjadi jamuan biasa.

“Kami semua Melayu cuma nama dan agama sahaja berbeza,” katanya berseloroh, sehingga pernah menyebut dirinya “lebih Melayu daripada Melayu”.


Majoriti Kawan Melayu, Fasih Sampai Tiada Bahasa Inggeris Keluar

Kok Seong yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik berkata, beliau dibesarkan dalam suasana yang membuatkan majoriti rakan sekolahnya terdiri daripada masyarakat Melayu.

Kok Seong (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya semasa di Tingkatan 5, Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu pada tahun 1970.

Kok Seong (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya semasa di Tingkatan 5, Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu pada tahun 1970.


Ketika ditemu bual media, Kok Seong turut menarik perhatian kerana tidak kekok langsung bertutur dalam bahasa Melayu, malah sepanjang pertemuan, hampir tiada perkataan bahasa Inggeris keluar daripada mulutnya.

Bagi beliau, bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi, tetapi sebahagian daripada hidupnya sejak kecil.


Pernah Digelar Ustaz Dan Haji

Menariknya, keserasian Kok Seong dengan budaya Melayu turut menyebabkan beliau pernah digelar “ustaz”.

Katanya, gelaran itu timbul selepas beliau menerangkan kepada penghantar surat khabar berbangsa Cina dan India tentang sebab orang Melayu tidak membuka pintu ketika waktu Maghrib.

“Mereka tanya saya, macam mana kamu tahu, awak ustaz ke? Saya cakap, saya tahu sikit-sikit. Sebab itu lekat gelaran ustaz sehingga hari ini,” katanya.

Kok Seong semasa melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti of California, Berkeley pada tahun 1993.

Kok Seong semasa melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti of California, Berkeley pada tahun 1993.


Bukan itu sahaja, beliau juga pernah digelar “Haji” kerana sering dijemput memberi pembentangan berkaitan hal agama Islam oleh beberapa pertubuhan termasuk PERKIM dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), walaupun beliau bukan beragama Islam.

Kok Seong berkata, beliau tidak pernah terasa hati dengan gelaran tersebut kerana menganggapnya sebagai penghormatan.


Di Sebalik Ketegasan, Rupanya Minat Muzik Sampai Nak Jadi Pemain Gitar

Dalam satu pendedahan lain, Kok Seong mengakui beliau sebenarnya amat meminati muzik dan pernah memasang impian menjadi pemain gitar dalam kugiran.

Namun, katanya, keluarga beliau hidup sederhana dan tidak berpeluang memiliki gitar walaupun sekadar untuk hobi.

Kok Seong bersama isteri, Datin Chang Wai Leng ketika bercuti di pantai Melbourne, Australia pada tahun 2008.

Kok Seong bersama isteri, Datin Chang Wai Leng ketika bercuti di pantai Melbourne, Australia pada tahun 2008.


Beliau juga berkongsi bahawa ketika masih bersekolah, beliau membantu mengurus kedai runcit kecil milik keluarga sebagai sumber rezeki utama.

Minatnya terhadap muzik semakin kuat selepas mendengar lagu Indonesia, termasuk Teluk Bayur nyanyian Ernie Djohan sekitar tahun 1968.

Malah hingga kini, katanya, impian itu masih ada sekurang-kurangnya untuk menghiburkan diri dengan petikan gitar sambil menyanyikan lagu-lagu lama.


Pilih Bahasa Melayu Walaupun Asalnya Guru Bahasa Inggeris

Walaupun bermula sebagai guru Bahasa Inggeris lepasan Maktab Perguruan Bahasa, Kok Seong memilih untuk mengkhusus dalam bidang bahasa Melayu secara ilmiah ketika di Universiti Malaya sekitar tahun 1980.

Beliau kemudian memulakan kerjaya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1982 sebagai tutor sebelum menjadi pensyarah, profesor madya dan akhirnya profesor.

Perjuangan beliau dalam memartabatkan bahasa Melayu turut melayakkan beliau menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2012) dan Ikon Perjuang Bahasa (Akademi) 2015.


Dihentam Kaum Sendiri, Dianggap Pengkhianat

Walaupun dihormati ramai, Kok Seong mengakui beliau tidak disenangi segelintir masyarakat Cina yang menganggap pendiriannya tidak selari dengan kepentingan kaum tersebut.

Beliau mendakwa, ada yang menyifatkannya sebagai pengkhianat dan menghentamnya dengan kata-kata kesat di media sosial.

“Mereka lemparkan kata-kata perg mati, F***, bodoh. Mereka tidak berhujah pun tetapi menghentam,” katanya.

Menurut Kok Seong, kritikan itu berlaku kerana beliau memilih untuk bercakap sebagai rakyat Malaysia dan bukan semata-mata mewakili suara satu kaum.

Katanya, masyarakat Cina sebenarnya berharap beliau menggunakan kedudukan sosialnya untuk membantu kaum Cina, namun beliau memilih untuk mengkritik sikap yang dianggap tidak selari dengan realiti negara.

Beliau juga berpandangan ada kelompok yang masih bermentaliti pendatang kerana tidak memahami sejarah pembentukan Malaysia, lalu memandang rendah bahasa Melayu kerana dianggap tiada nilai ekonomi.


“Kalau Melayu Sendiri Tak Yakin, Orang Lain Lagi Tak Akan Hormat”

Kok Seong turut meluahkan rasa sedih apabila melihat bahasa Melayu semakin terpinggir, khususnya selepas pelaksanaan dasar PPSMI pada 2003 yang menyaksikan peranan bahasa Melayu diambil alih sedikit demi sedikit.

Katanya, halangan terbesar dalam memartabatkan bahasa Melayu kadangkala datang daripada sikap orang Melayu sendiri yang mempertikaikan kemampuan bahasa itu.

Bagi beliau, jika penutur jati sendiri tidak yakin dengan bahasa Melayu, maka kaum lain lebih sukar untuk menerima bahasa itu dengan ikhlas.


Anak Kelantan Yang Membesar Dengan Budaya Melayu

Walaupun berbangsa Cina Peranakan, Kok Seong menegaskan budaya Melayu Kelantan sudah menjadi sebahagian daripada dirinya sejak kecil.

Latar kehidupan di Kelantan itulah yang membentuk cara fikir dan pendiriannya sehingga hari ini, termasuk dalam perjuangan mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

biodata profesor datuk dr teo kok seong

Biodata penuh Profesor Datuk DR Teo Kok Seong


Sumber rujukan: Berita Harian, Sinar Harian, Malaysia Gazette, UKM

SHARE:

TERKINI

‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
[VIDEO] Risau Keselamatan Pelajar, Individu Sukarela ‘Trim’ Pokok Halang Laluan Pejalan Kaki
|
Tindakan seorang individu yang secara sukarela membersihkan laluan pejalan…
Pemandu Sambilan Didakwa Edar Dadah Sintetik Hampir 570kg
|
Seorang pemandu sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh…
Rumah Macam Zoo, Usahawan Turut Pelihara 6 Ekor Buaya Di Rumah
|
Seorang usahawan ternakan di Sungai Sikamat, Kajang, mendakwa sering…
Jual Lokcing Sambil Seludup Petrol, Terima Upah RM10 – RM15 Satu ‘Trip’
|
Seorang penjual lokcing warga Thailand dipercayai menjadikan aktiviti menyeludup…
Pakar Bahasa Tegas “Keno Bbodo” Bermaksud Diperbodohkan, Ada Unsur Penghinaan
|
Isu penggunaan istilah “keno bbodo” yang tular susulan konvoi…
Jawatan Kosong Kelantan