Rumah Macam Zoo, Usahawan Turut Pelihara 6 Ekor Buaya Di Rumah

Seorang usahawan ternakan di Sungai Sikamat, Kajang, mendakwa sering menerima pelbagai tanggapan termasuk dituduh melakukan “kerja gila” kerana memelihara enam ekor buaya di rumah yang dihuni bersama keluarganya.

Usahawan berkenaan, Khairul Johari Mohd Denie, 41, berkata kediamannya yang merupakan rumah berkembar kini tidak ubah seperti sebuah zoo mini apabila turut dihuni pelbagai haiwan lain termasuk biawak, landak, tikus, musang, snapping turtle, itik belibis serta burung-burung eksotik.

khairul johari buaya dalam rumah

Foto: Berita Harian


Menurutnya, tanggapan orang ramai tidak pernah dihiraukan kerana hobi memelihara haiwan eksotik itu dilakukan dengan mematuhi peraturan ketat termasuk memiliki lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta pemantauan berkala.

Katanya, beliau membina kolam besar bagi menempatkan enam ekor buaya jenis Smooth-fronted Caiman atau Paleosuchus trigonatus, yang masing-masing diberi nama Perang, Grey, Kelabu, Palau, Palau 2 dan Maria.

“Saya gembira melakukan hobi ini sejak bertahun-tahun lalu bersama keluarga dan ia tidak menimbulkan masalah kerana selain menguruskan ladang ternakan lembu serta kambing, masa saya sentiasa di rumah.

“Ramai fikir membela haiwan eksotik memerlukan belanja besar tetapi sebenarnya tidak, saya hanya mengeluarkan kos antara RM150 hingga RM250 sebulan,” katanya.

Khairul Johari berkata, seekor buaya hanya diberi makan setiap tiga minggu atau sebulan sekali, iaitu sekitar satu kilogram kepala ayam yang diperoleh percuma, manakala makanan haiwan lain pula menggunakan lebihan buah dan sayur yang masih elok serta hasil memancing.

Beliau yang mempunyai lima anak berkata, semua buaya itu dipelihara sejak 2018 selepas dibeli daripada peniaga berlesen ketika haiwan berkenaan berusia setahun dan sepanjang kira-kira 20 sentimeter.

Kini, katanya, buaya tersebut sudah berusia lapan hingga 10 tahun dengan panjang melebihi satu meter.

Khairul Johari turut menyifatkan buaya itu sebagai “harta warisan” buat anak cucunya memandangkan jangka hayat haiwan berkenaan boleh mencecah 80 hingga 100 tahun.

Minatnya itu turut mendapat sokongan isterinya, Nur Lyana Nazmi Mohd Nazir, 33, yang juga pegawai penyiasat polis.

Beliau berkata semua haiwan peliharaan itu tidak dilepaskan di luar rumah kerana ia menyalahi undang-undang, kecuali burung tiong emas yang dilepaskan terbang sebelum kembali semula pada waktu senja.

Dalam perkembangan lain, pasangan itu merancang untuk membuka zoo mini atau petting zoo di Kuala Kangsar, Perak menjelang hujung tahun ini sebagai platform pendidikan kepada masyarakat mengenai haiwan eksotik.

Pada masa sama, Khairul Johari menasihatkan orang ramai supaya tidak memelihara haiwan liar tanpa kebenaran pihak berkuasa kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang.



Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Kisah Bekas Bintang Filem Dewasa Dari Jepun Memeluk Islam Selepas Lawatan Ke Malaysia
|
Nama Kae Asakura atau lebih dikenali sebagai Rae Lil…
APM Ambil Masa Lebih 5 Jam Pindahkan Pesakit Obesiti 180kg Di Pasir Mas
|
Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa lebih lima jam…
Pilihan Raya Negeri SG4 Dijangka Diadakan Serentak Dengan PRU16
|
Empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) iaitu Kelantan,…
200 Unit Vape Bernilai RM20,000 Dirampas Di Tepi Sungai Golok
|
Cubaan menyeludup 200 unit peranti vape ke Thailand gagal…
RESET Himpun 20,000 Penyokong, Fokus Bantu PAS Menang PRU
|
Pimpinan Gerakan RESET menegaskan mereka berjaya menghimpunkan kira-kira 20,000…
Kelantan Catat Kadar Penagih, Penyalahgunaan Dadah Tertinggi – AADK
|
Kelantan terus merekodkan kadar tertinggi penyalahgunaan dadah di Malaysia…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!