Fenomena lagu Kelantan nampaknya semakin menjadi-jadi apabila lagu “Adek Saye Abe Sore”, ciptaan komposer terkenal Eddie Hamid, bukan sahaja tular dalam negara, malah mula menembusi pasaran antarabangsa termasuk Jepun.
Eddie berkata, kejayaan lagu berkenaan yang kini meraih lebih tiga juta tontonan di YouTube memberi petanda positif bahawa ia berpotensi mengatasi populariti lagunya sebelum ini, “Bae Soba Bae” yang mencatat 34 juta tontonan.
Menurutnya, pada 27 April ini genap sebulan lagu itu dilancarkan ke pasaran.
“Saya tidak sangka lagu ini boleh ‘meletup’ seperti sekarang. Kalau ikut jangkaan, Adek Saye Abe Sore ada peluang untuk mengatasi Bae Soba Bae,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 kelab peminatnya, malam tadi.
Gandingan Din Manjo & Eda Ezrin Jadi Tarikan
Mengulas lanjut, Eddie berkata kejayaan lagu itu turut didorong keserasian dua penyanyi, Din Manjo dan Eda Ezrin, yang berjaya menghidupkan karya berkenaan.
Katanya, kedua-dua artis itu kini giat menjalankan promosi dari satu stesen radio ke stesen radio lain, sekali gus membantu meningkatkan penerimaan terhadap lagu terbabit.
“Saya nampak keserasian mereka sangat kuat. Insya-Allah akan ada lagi gandingan mereka selepas ini,” katanya.
Sudah Menembusi Pasaran Luar Negara
Dalam pada itu, Eddie mendedahkan lagu tersebut turut mula mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila menembusi pasaran luar negara.
Beliau percaya kejayaan itu juga menjadi rezeki buat Eda yang kini sedang sarat mengandung.
Lagu Baharu Gabungan 5 Penyanyi Wanita Dikir Barat Kelantan
Dalam perkembangan lain, Eddie berkata beliau merancang menghasilkan lagu baharu yang akan menampilkan gabungan lima penyanyi wanita dikir barat Kelantan tersohor, termasuk Rosalinda.
“Insya-Allah akan ada lagi kejutan selepas ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
