Hilang kaki bukan lagi alasan untuk terputus harapan, apabila seorang pakar ortopedik tempatan mencipta sejarah dengan menghasilkan kaki palsu mesra Muslim pertama di dunia, sekali gus membantu pesakit kembali mampu bersujud dalam solat seperti biasa.
Lebih membanggakan, inovasi itu turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila analisis paten oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) mengesahkan ia satu-satunya kaki palsu mesra Muslim dengan ciri dinamik seumpamanya di dunia.
Pencipta inovasi tersebut ialah Profesor dan Pakar Perunding Kanan Ortopedik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Yazid Bajuri, yang berkata idea itu tercetus hasil pengalamannya merawat pesakit amputasi, terutama akibat komplikasi diabetes.
Menurutnya, ramai pesakit hilang semangat selepas kehilangan kaki kerana prostesis sedia ada terlalu berat, lambat diperoleh dan tidak menepati keperluan harian.
“Apabila kita melakukan amputasi, kita lihat pesakit berdepan kesukaran. Kaki palsu di pasaran pula berat, lambat diperoleh dan tidak memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Bermula Dengan Modal Sendiri
Prof Dr Mohd Yazid berkata, inovasi itu bermula sejak 2018 bersama rakan penyelidik, dengan masing-masing mengeluarkan modal sendiri sekitar RM15,000 hingga RM20,000 bagi membangunkan prototaip awal.
Usaha kecil itu kemudiannya berkembang apabila inovasi tersebut mula menarik perhatian, sekali gus melayakkan pasukan penyelidik menerima geran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta UKM.
Katanya, kaki palsu itu melalui pelbagai peringkat tahap kesiapsiagaan teknologi (TRL) sebelum mencapai tahap tertinggi dan bersedia untuk dikomersialkan bermula 2025.
Sendi Dinamik Bantu Sujud Dan Duduk Seperti Normal
Menurutnya, kaki palsu berkenaan mula digunakan pesakit seawal 2021 menerusi program pengesahan pasaran, dengan kira-kira 40 pesakit menerima manfaat.
Ujian itu dilakukan di beberapa hospital termasuk Hospital UKM, Hospital Melaka, Hospital Sultan Ismail dan beberapa hospital di Pantai Timur.
Keunikan utama inovasi tersebut adalah pada bahagian buku lali yang mempunyai sendi dinamik, membolehkan pesakit duduk, sujud dan bangun seperti normal.
“Inilah yang membezakan produk kami. Pesakit boleh solat seperti biasa, duduk antara dua sujud tanpa perlu menanggalkan kaki palsu,” katanya.
Menariknya, inovasi itu bukan hanya membantu umat Islam, malah turut digunakan bukan Muslim untuk aktiviti seperti yoga dan duduk di lantai.
Versi Baharu Kalis Air Untuk Ambil Wuduk
Prof Dr Mohd Yazid turut memaklumkan versi terbaharu kini dilengkapi ciri kalis air, membolehkan pengguna mengambil wuduk tanpa perlu menanggalkan kaki palsu.
Dari segi berat pula, kaki palsu itu hanya sekitar 2.3 hingga 2.5 kilogram, jauh lebih ringan berbanding prostesis biasa yang lazimnya melebihi 3 kilogram.
Beliau mengakui momen paling menyentuh hati adalah apabila seorang pesakit menangis selepas berjaya sujud buat pertama kali sejak kehilangan kaki.
“Dia kata nak cuba sujud. Bila dia berjaya, dia menangis. Masa itu saya sendiri rasa sangat tersentuh,” katanya.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata inovasi tersebut bukan sekadar produk perubatan, tetapi satu sumbangan sosial untuk membantu pesakit kembali menjalani kehidupan lebih baik.
Kini, produk itu mula dikomersialkan dan dijangka diperluaskan ke peringkat antarabangsa termasuk Indonesia dalam masa terdekat.
“Bukan soal keuntungan. Saya lebih gembira apabila lebih ramai dapat menggunakan inovasi ini dan kehidupan mereka berubah,” katanya.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
