Mahkamah Majistret Tanah Merah hari ini menolak permohonan reman terhadap empat suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam kejadian tembakan terhadap seorang penjaga lembu di sebuah ladang di Felda Kemahang 1, awal pagi semalam.
Keputusan itu dibuat Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini selepas mendapati kesemua suspek berusia antara 21 hingga 45 tahun termasuk seorang warga Indonesia tidak mempunyai ‘nexus’ atau kaitan yang mencukupi dengan kesalahan yang sedang disiasat.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di perkarangan Mahkamah Majistret pada jam 8.40 pagi dengan menaiki trak polis.
Mangsa Cedera Ditembak Di Dagu
Semalam media melaporkan mangsa, Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, cedera selepas terkena tembakan di bahagian dagu ketika melakukan rondaan bersama rakannya.
Rondaan itu dilakukan bagi memantau kegiatan kecurian lembu yang dipercayai berlaku di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat menggunakan senjata api ke arah penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian.
BERKAITAN:
Polis Buru 5 Suspek Kes Tembakan Di Kemahang, Lelaki Cedera Di Dagu
Pemuda Cedera Di Muka Ditembak Ketika Cuba Halang Pencuri Lembu Di Tanah Merah
Sumber: Harian Metro
SHARE:
