Seorang anggota polis berpangkat Koperal yang digantung tugas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan samun terhadap seorang wanita di sebuah kedai runcit di Kampung Kemumin, tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, Mohd Irfan didakwa melakukan samun terhadap mangsa, Nik Zainab Nik Zul Azhar, 34, di sebuah premis di Kampung Kemumin, Jalan Sabak, kira-kira jam 10.30 malam pada 7 November 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan Mohon Tiada Jaminan
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan tersebut serius.
Namun beliau memohon jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, termasuk syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu setiap bulan.
Peguam Mohon Jaminan Rendah, Isteri Hidap Kanser
Tertuduh diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie yang memohon jaminan pada kadar paling rendah.
Menurut peguam, tertuduh kini hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan sekitar RM30 hingga RM50 sehari selepas ditahan kerja pada tahun 2023.
“Tertuduh juga perlu menanggung seorang isteri yang bertugas sebagai jururawat dan sedang menghidap kanser ovari tahap tiga sejak 2022, serta dua anak yang masih bersekolah.
“Anak guam saya juga menghidap penyakit darah tinggi dan tiada risiko untuk melarikan diri memandangkan dia menetap bersama keluarganya di Kota Bharu,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di IPD Kota Bharu setiap bulan serta menyerahkan pasport.
Hakim menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sumber: Bernama, Berita Harian
SHARE:
