Helios Photovoltaic Sdn Bhd (Helios) memperkenalkan projek mega bersepadu pertama seumpamanya di Malaysia yang menggabungkan tenaga boleh diperbaharui dengan pemuliharaan alam sekitar sebagai strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat itu.
Projek tersebut merangkumi pembinaan taman solar fotovoltaik berkapasiti 1,000 megawatt puncak (MWp) yang disokong oleh sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 1,600 megawatt jam (MWh).
Menurut Helios, pembangunan akan dilaksanakan di atas kawasan seluas 3,000 ekar di Kelantan, dengan sasaran operasi komersial antara tahun 2028 hingga 2029, manakala nilai pembangunan keseluruhan dianggarkan mencecah RM5.5 bilion.
Dibangunkan Di Bawah Program CRESS
Helios memaklumkan projek berkenaan dibangunkan di bawah Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) menggunakan model platform berskala.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mampu menjana tenaga bersih, malah membuka peluang pelaburan kepada syarikat dan pelabur untuk terlibat dalam sektor tenaga tanpa perlu menguruskan infrastruktur secara langsung.
Fokus Pemuliharaan Harimau Malaya Dan Eko-Pelancongan
Selain pembangunan tenaga, projek itu turut memberi tumpuan kepada aspek pemuliharaan hidupan liar serta eko-pelancongan.
Helios menjelaskan bahawa dengan populasi Harimau Malaya yang dianggarkan kurang daripada 150 ekor di habitat liar, inisiatif ini dijangka menyokong usaha pemuliharaan melalui kerjasama dengan organisasi berkaitan.
Sebuah resort eko-pelancongan turut dirancang dan akan dijana sepenuhnya menggunakan tenaga bersih daripada taman solar tersebut, sekali gus menjadi model pembangunan mampan.
Peluang Pekerjaan, Libat Urus Orang Asli
Projek ini juga dijangka merangsang ekonomi setempat menerusi penciptaan peluang pekerjaan serta penglibatan komuniti Orang Asli.
Ia sekali gus menonjolkan Kelantan sebagai hab tenaga bersih dan pemuliharaan alam sekitar di Malaysia.
Helios Sasar IPO Di Frankfurt Mei 2026
Dalam perkembangan sama, Helios turut mengumumkan penyerahan prospektus bagi cadangan tawaran awam permulaan (IPO) di Frankfurt Stock Exchange, menandakan langkah syarikat itu ke pentas global.
IPO berkenaan disasarkan pada Mei 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan bakal dibuka kepada pelabur di Jerman serta beberapa bidang kuasa lain yang layak.
Helios turut melantik SMC Investmentbank AG sebagai bank penyenaraian bagi menyokong pelaksanaan tawaran tersebut.
Dana yang diperoleh daripada IPO dijangka menjadi pemacu utama strategi pertumbuhan Helios, khususnya pembangunan projek tenaga solar berskala besar di Eropah dan Asia termasuk Jerman, Malaysia, Singapura dan Kemboja.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
