“Biarlah Saya Membujang” – Lelaki Di Tumpat Setia Jaga Ibu Uzur Dan Kakak OKU

Demi menjaga kakak yang berstatus orang kurang upaya (OKU) dan ibu yang sudah uzur, seorang lelaki di Kampung Cherang Melintang, Tumpat sanggup berkorban sepenuh masa demi dua insan kesayangannya itu.

Che Soh Ahmad, 40, berkata beliau bukan sahaja tidak dapat bekerja jauh dari rumah, malah memilih untuk tidak berkahwin kerana merasakan tiada wanita sanggup bersamanya menguruskan ibu serta kakaknya, Kalthum Ahmad, 56, yang kini terlantar akibat kecacatan fizikal.

Menurutnya, kakaknya mengalami kecacatan pada kedua-dua kaki dan tangan sejak lahir. Pada awalnya masih boleh berjalan, namun semakin meningkat dewasa, kakaknya hanya mampu mengengsot.

“Bagaimanapun sejak dua tahun lalu, kakak diserang angin ahmar sekali gus memudaratkan lagi keadaannya menjadikan dia langsung tidak dapat berjalan dan kini hanya terlantar di tilam.

“Manakala ibu pula mengalami sakit tua dan sudah tidak larat bergerak maka semua kerja rumah terpaksa diuruskan oleh saya,” katanya.

Che Soh berkata, beliau bukan tidak mempunyai keinginan untuk berumah tangga, namun keadaan keluarga membuatkan beliau memilih untuk terus membujang.

“Bukan tiada keinginan untuk kahwin tapi tak kan ada yang sanggup bersusah payah dengan saya lebih-lebih lagi menguruskan ibu dan kakak bersama, jadi biarlah saya membujang,” katanya yang mempunyai lima beradik.

Urus Mandikan Ibu Dan Kakak Sebelum Keluar Bekerja

Che Soh yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, rutin hariannya sebelum keluar bekerja adalah memasak dan memandikan ibu serta kakaknya di ruang kecil bersebelahan tempat tidur kerana beliau tidak larat mengangkat mereka ke bilik air.

“Secara bergilir, saya akan mandikan kakak serta emak dan lantai ruang mandi mereka ini sudah reput jadi saya perlu berhati-hati untuk meletak mereka sebelum menjirus air yang diangkut dari bilik air,” katanya.

Menurutnya, keadaan rumah pusaka yang sering dinaiki air setiap kali banjir menyebabkan banyak bahagian lantai menjadi reput, malah beliau sendiri pernah beberapa kali terjerlus.

“Bukan saja kerana rumah pusaka tapi setiap tahun rumah ini dinaiki air disebabkan banjir, jadi banyak lantai menjadi reput malah saya pun sudah beberapa kali terjerlus jatuh.

“Saya berharap sangat dapat membina ruang untuk mereka membersihkan diri yang selesa walaupun kecil tapi tiada kewangan yang cukup, dapat tukar papan lantai baharu pun sudah memadai,” katanya.

Che Soh berkata, kakaknya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 yang digunakan untuk membeli lampin pakai buang, namun ia masih tidak mencukupi memandangkan ibunya juga kadangkala perlu memakai lampin pakai buang.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang hadir bertanya khabar selain menyerahkan wang zakat dan barangan dapur.

Bagi individu yang ingin membantu, orang ramai boleh menghubungi Che Soh di talian 017-9338862 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Kalthum Ahmad iaitu 0300841000031371.


Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

“Bersyukur Masih Hidup…” Penjaga Lembu Ditembak Di Pipi Tak Serik Terus Bekerja
|
“Bersyukur masih hidup.”Itu perkara pertama yang terlintas di fikiran…
Identiti Gadis Ditikam 61 Kali Diketahui, Pelajar Kolej Di Kota Bharu Dari Perak
|
Identiti gadis yang ditemukan maut dengan 61 kesan tikaman…
Wanita Ditemui Maut Di Ketereh Pakai Rantai Leher Ukiran Nama “SYAA”
|
Kes penemuan mayat seorang wanita di Kampung Simah, Ketereh,…
Saksi Nampak Kecederaan Di Muka Dan Leher, Penemuan Mayat Wanita Di Ketereh Diklasifikasikan Kes Bunuh
|
Penemuan mayat seorang wanita di jalan Kampung Kubang Kiat,…
Imam Besar Kelantan Dinobat Tokoh Pekerja Negara Sempena Hari Pekerja
|
Imam Besar Negeri Kelantan, Dr Muhammad Hana Pizi Abdullah…
Penemuan Mayat Wanita Tertiarap Dengan Kesan Tikaman Di Atas Jalan Di Ketereh
|
Penduduk sekitar Ketereh dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita…
Jawatan Kosong Kelantan