Sindiket Penyeludupan Sempadan Tukar Taktik, Guna Laluan Laut Hingga Ke Besut

Sindiket penyeludupan di sempadan dipercayai memperluaskan modus operandi mereka dengan mengangkut dadah, senjata api dan pendatang tanpa izin sehingga ke Besut, Terengganu melalui laluan laut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, risikan mendapati kegiatan yang sebelum ini tertumpu di laluan darat dan sungai kini sudah merebak ke kawasan pesisir pantai termasuk Semerak dan Kemasin di Pasir Puteh.

Menurut beliau, pintu masuk sekitar Tumpat, Sungai Kelantan dan muara Kuala Besar turut dikesan menjadi laluan utama sindiket berkenaan, sekali gus menggambarkan rangkaian pergerakan mereka yang semakin meluas.

“Polis menerima maklumat bahawa aktiviti penyeludupan telah sampai ke negeri jiran iaitu Besut, Terengganu.

“Mereka menggunakan laluan laut selepas penguatkuasaan di Sungai Golok diperketatkan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, rampasan terbaharu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Ahad lalu yang membabitkan 114 kilogram syabu bernilai lebih RM5 juta di Pengkalan Chepa, Kota Bharu menunjukkan perubahan taktik sindiket.

“Saya bangkitkan isu ini sebelum ini di mana modus operandi mereka berubah susulan penguatkuasaan lebih ketat di sempadan.

“Sindiket akan menggunakan apa sahaja kaedah daripada laluan darat di sempadan hingga laluan laut untuk membawa masuk pendatang tanpa izin, dadah dan senjata api,” katanya.

Beliau menambah, agensi penguatkuasaan percaya sindiket memanfaatkan lokasi pendaratan di pesisir pantai serta kawasan yang kurang dipantau bagi mengelak dikesan, terutama pada waktu malam.

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan memperketatkan lagi penguatkuasaan dan bekerjasama rapat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Polis Marin bagi memperkukuh pemantauan di kawasan pesisir.

“Kita akan menyelaras dengan APMM dan Polis Marin untuk mempergiat rondaan laut serta menutup sebarang kelemahan di sepanjang pantai,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai khususnya penduduk di kawasan pesisir supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti penyeludupan termasuk yang melibatkan bahan api.

“Kita berharap komuniti setempat dapat membantu dengan menyalurkan maklumat supaya kita dapat mengekang penyeludupan rentas sempadan khususnya membabitkan petrol dan diesel,” katanya.


Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

Dulu Bergelumang Najis, Abbe Hae Kongsi Perkembangan Terbaru Pak Din
|
Kisah seorang warga emas yang pernah tular sebelum ini…
Kakitangan Kerajaan Negeri Kelantan Bebas Rasuah, Tiada Yang Didakwa SPRM
|
Kerajaan negeri Kelantan menegaskan bahawa tiada seorang pun kakitangannya…
Mahkamah Tolak Permohonan Reman 4 Suspek Kes Tembak Penjaga Lembu Felda Kemahang 1
|
Mahkamah Majistret Tanah Merah hari ini menolak permohonan reman…
Suri Rumah Direman 5 Hari, Kes Rampasan 5 Senjata Api Termasuk M16 Di
|
Seorang suri rumah direman selama lima hari bagi membantu…
Lelaki Cuba Lari Selepas Menyeberang Dari Thailand, 402 Pil Yaba Dirampas
|
Pasukan Strike Force Kompeni B Batalion 9 Pasukan Gerakan…
Dibayar RM4,000 Bawa 5Kg Ganja Dari Thailand Ke Kuala Lumpur, 2 Lelaki Ditahan Di Rantau Panjang
|
Pasukan Strike Force/Tiger Platoon Kompeni A Batalion 9 Pasukan…
Jawatan Kosong Kelantan