Seekor biri-biri milik seorang kakitangan kesihatan ditemukan hanya tinggal kepala dan tulang selepas dipercayai dibaham harimau kumbang dalam kejadian berhampiran kuarters Hospital Gua Musang pada pagi Jumaat.
Pemiliknya, Dr Muhamad Afiq Fahmi Md Zuhaidi, 29, berkata kejadian itu disedari sekitar jam 7 pagi ketika beliau ingin memberi makan haiwan ternakan yang ditambat di kawasan berbukit kira-kira 10 meter dari rumahnya.
Menurutnya, biri-biri itu baru dibela kira-kira tiga hingga empat hari lalu dan dirancang untuk dijadikan hidangan kambing golek sempena majlis Hari Raya Aidilfitri jabatan pada pertengahan bulan ini.
“Saya bagi makan sekitar jam 10 malam tadi, biri-biri itu masih ada. Tapi pagi ini bila periksa, hanya tinggal kepala serta tulang sahaja, dipercayai dibaham harimau,” katanya kepada Sinar Harian.
Afiq Fahmi berkata, lokasi ternakan itu terletak kira-kira 200 meter dari sebuah gua di belakang kuarters hospital, selain berada berhampiran kawasan hutan.
Beliau turut memaklumkan terdapat penghuni kuarters lain yang sebelum ini pernah melihat kelibat haiwan dipercayai harimau kumbang berwarna hitam di kawasan gua berkenaan kira-kira sebulan lalu.
“Ada yang nampak harimau di gua itu yang jaraknya lebih kurang 200 meter dari kuarters. Bila tanya penduduk berdekatan, mereka kata kawasan itu memang kadang-kadang ada harimau,” katanya.
Doktor yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu itu berkata, beliau sudah menghubungi kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melalui aplikasi WhatsApp dan bercadang membuat aduan rasmi pada Ahad ini.
Insiden tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kira-kira 50 penghuni kuarters, terutama mereka yang mempunyai anak kecil.
“Kami memang risau sebab kawasan ini dekat hutan dan gua. Sekarang kami lebih berjaga-jaga terutama bila keluar waktu malam,” katanya.
Beliau berharap Perhilitan Kelantan dapat segera mengambil tindakan termasuk memasang perangkap bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
