Sepasang suami isteri dilaporkan melecur selepas kedai menjual bahan sembahyang milik mereka berhampiran Central Park, Kuala Krai terbakar malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 malam sebelum operasi memadam kebakaran digerakkan.
Menurutnya, seramai 21 anggota bomba dari BBP Kuala Krai, BBP Sungai Durian serta Pasukan Bomba Sukarela Guchil terlibat dalam operasi tersebut.
“Setibanya di lokasi, premis terbakar kira-kira 90 peratus.
“Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk menerima rawatan lanjut kerana dipercayai melecur akibat kebakaran itu,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi.
Sementara itu, seorang saksi, Nur Husna Hamat, 23, berkata ketika kejadian dia bersama rakannya, Mazlin Izzati Che Mat Nawi, 22, sedang bekerja di sebuah kedai runcit yang terletak bersebelahan premis terbabit.
Katanya, mereka terdengar bunyi letupan yang sangat kuat sebelum menyedari api mula merebak keluar dari kedai sebelah.
“Tiba-tiba kami terdengar letupan sangat kuat sebelum mendapati api merebak keluar dari kedai sebelah,” katanya, sambil memaklumkan dia segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
