Seorang penghulu dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Bachok selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul wanita warga emas, Sabtu lalu.
Kes tersebut dilaporkan berlaku di Mukim Pauh Sembilan, Bachok dan mencetuskan perhatian selepas tular di media sosial.
Mangsa Dicabul Dalam Kedai Runcit
Menurut Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, kejadian berlaku kira-kira jam 7.25 pagi apabila mangsa pergi ke sebuah kedai runcit milik suspek.
“Kemudiannya suspek dipercayai bertindak memeluk mangsa dan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya.
“Mangsa cuba melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum keluar dari premis dalam keadaan ketakutan,” katanya dalam kenyataan.
Suspek Ditahan Sehari Selepas Kejadian
Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, pihak berkuasa menahan suspek pada Ahad, sehari selepas kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kes ini tular selepas timbul dakwaan seorang penghulu mencabul wanita warga emas yang datang mendapatkan pengesahan dokumen bantuan.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
