Pengasas Kosmetik Dakwa Anak 19 Tahun Dipukul, Dicekik, Ditendang Bekas Tunang

Seorang pengasas kosmetik di Kota Bharu mendakwa anak perempuannya yang berusia 19 tahun menjadi mangsa kekerasan bekas tunang yang juga seorang pempengaruh media sosial.

Fara Sharina Zamari, 37, berkata kejadian itu didakwa berlaku pada 21 Februari lalu, menyebabkan anak sulungnya daripada empat beradik mengalami lebam dan bengkak di seluruh badan.

Menurutnya, pada hari kejadian anaknya pergi berbuka puasa di rumah lelaki berusia 20 tahun itu di kawasan Kedai Lalat kira-kira jam 6.30 petang sebelum pulang ke rumah sekitar jam 10 malam.


Mangsa Didakwa Dipukul Dan Dicekik

Fara Sharina mendakwa anaknya dipukul, dicekik, ditendang serta diseret oleh lelaki terbabit sehingga mengalami kecederaan.

Katanya, ketika pulang ke rumah keadaan anaknya kelihatan pelik dan terdapat kesan kemerahan pada bahagian leher.

“Anak saya hanya mengadu sakit kepada suami saya tetapi tidak memberitahu punca sebenar kejadian.

“Selepas dua hari barulah dia menceritakan perkara sebenar yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita.


Pertunangan Diputuskan

Susulan kejadian itu, Fara Sharina membawa anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada 24 Februari lalu.

Beliau berkata tali pertunangan antara anaknya dengan lelaki tersebut yang diikat pada Januari lalu turut diputuskan serta-merta.

Menurutnya, pasangan itu sepatutnya mendirikan rumah tangga pada 10 Syawal, namun majlis tersebut dibatalkan selepas kejadian berkenaan.


Suspek Serah Diri Selepas 12 Hari

Fara Sharina berkata bekas tunang anaknya itu dikatakan melarikan diri selama 12 hari sebelum menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu kira-kira enam hari lalu.

Bagaimanapun, lelaki tersebut kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau turut membuat laporan polis kedua kerana tidak mahu lelaki terbabit terus mengganggu anaknya yang kini mengalami trauma akibat kejadian tersebut.


Sumber: Berita Harian, Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
Jawatan Kosong Kelantan