Penyanyi dan pelakon Nabila Razali mengakui kehidupannya kini jauh berbeza berbanding ketika masih bujang apabila perlu membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
Menurut Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali, rutin hariannya kini berubah apabila memegang pelbagai peranan sebagai ibu, penyanyi, pelakon dan usahawan.
Walaupun sibuk, fokus utamanya kini lebih tertumpu kepada anak lelakinya, Muhammad yang kini berusia setahun tiga bulan.
Suami Banyak Membantu
Nabila berkata, memiliki pasangan yang memahami adalah satu rezeki besar buat dirinya.
Suaminya, Nik Iruwan Nik Izani disifatkan sebagai seorang yang sentiasa bertolak ansur serta memahami jadual kerjaya seninya.
Menurutnya, suaminya juga banyak membantu menguruskan urusan keluarga termasuk berkaitan anak mereka yang kini sudah dihantar ke sekolah.
Raya Tahun Ini Di Kelantan
Berkongsi mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, bekas peserta Akademi Fantasia itu berkata dia akan menyambutnya di kampung halaman suaminya di Kelantan.
“Tahun lepas saya beraya di sini jadi, kali ini giliran di Kelantan pula.
“Memang tak sabar sangat nak sambut raya memandangkan Muhammad pun sudah boleh berjalan, memang comel kalau pakai baju Melayu,” katanya.
Teruja Rasai Pengalaman Balik Kampung
Penyanyi lagu Vroom Vroom itu berkata persiapan raya dibuat secara sederhana, namun dia mengakui memerlukan tenaga lebih kerana anaknya semakin membesar.
Nabila juga berkata dia sedikit risau sekiranya anaknya takut melihat orang ramai ketika beraya.
Menurutnya, suasana di Kelantan ketika raya biasanya sangat meriah kerana ramai perantau pulang ke kampung halaman.
“Di Kelantan pula ketika raya memang padat, semua orang balik kampung, penuh macam berada di Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam masa sama, Nabila bersyukur kerana dapat merasai pengalaman pulang ke kampung yang sebelum ini jarang dilaluinya.
Katanya, dia membesar di Kuala Lumpur dan sebelum ini tidak pernah merasai pengalaman perjalanan jauh untuk pulang beraya.
“Syukur sangat dapat suami yang kampungnya jauh sebab saya memang membesar di Kuala Lumpur.
“Bahkan saya mula faham pengalaman orang lain balik kampung sehingga ambil masa 24 jam, ibaratnya satu Malaysia ada di Kelantan pada hari raya,” katanya.
Berkongsi tentang single raya terbaharu berjudul Tak Sabar Nak Raya, Nabila berharap lagu tersebut mendapat tempat dalam hati peminat terutama pada musim perayaan tahun ini.
Menariknya, dia turut mengajak pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad berkolaborasi untuk lagu raya tersebut.
Sumber: Kosmo
SHARE:
