Kegiatan perlombongan emas secara haram yang dipercayai baru beroperasi kira-kira seminggu di sebuah ladang getah di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang terbongkar selepas diserbu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Isnin.
Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 38 tahun ditahan ketika dipercayai sedang menjalankan aktiviti melombong emas menggunakan sebuah jengkaut dan beberapa peralatan khas.
Komander Briged Tenggara, Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan dilakukan selepas anggota risik Batalion 8 PGA menjalankan pemerhatian di kawasan berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima.
Hasil Emas Dianggarkan 5 Hingga 7 Gram Sehari
Menurut beliau, kegiatan perlombongan haram itu dipercayai baru beroperasi kira-kira seminggu dengan anggaran hasil emas sekitar lima hingga tujuh gram sehari.
“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perlombongan emas secara haram,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jengkaut Hitachi Antara Yang Dirampas
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melombong emas.
Antara barangan dirampas termasuk:
- Sebuah jengkaut oren jenama Hitachi
- Mesin pam air
- Unit palong
- Karpet dan hos air yang digunakan dalam proses perlombongan
Ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Bertam untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
