Kelantan Dijangka Terima 2,300 Pelancong Jepun Bermula April, Jeli Dan Dabong Jadi Tumpuan

Seramai 2,300 pelancong dari Jepun dijangka berkunjung ke Kelantan bermula April ini susulan pemeteraian kontrak pelancongan bernilai RM2.3 juta antara Tourism Kelantan dan Topview Holiday Japan Co. Ltd.

Pengarah Tourism Kelantan, Mohd Azwan Ab Rahman, berkata kerjasama itu dimeterai melalui wakil rasmi negeri pada pameran pelancongan antarabangsa Internationale Tourismus-Börse Berlin 2026 (ITB Berlin 2026) iaitu Inspire Travel Malaysia Sdn Bhd.

Menurut beliau, perjanjian dua hala tersebut menjadi langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan ekologi di rantau Asia Tenggara.

“Topview Holiday Japan Co. Ltd merupakan antara peneraju industri pelancongan Jepun dengan pengalaman selama 32 tahun dalam menguruskan pelancong ke pelbagai destinasi di Asia dan peringkat antarabangsa.

“Melalui kerjasama ini, Kelantan akan memberi tumpuan kepada promosi produk ekopelancongan terutama di kawasan Dabong dan Jeli yang mempunyai potensi besar untuk pasaran Jepun serta Eropah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Antara tarikan utama yang akan diketengahkan termasuk keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara, kepelbagaian flora dan fauna unik serta Air Terjun Gunung Stong yang semakin mendapat perhatian pelancong luar negara.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Kamarudin Md Nor, berkata perubahan pola pelancongan dunia ketika ini turut memberi peluang kepada Malaysia menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.

Menurut beliau, situasi krisis di Asia Barat menyebabkan sebahagian pelancong dari Eropah, Jepun, Australia dan New Zealand cenderung memilih Malaysia sebagai destinasi alternatif.

“Keadaan ini membuka ruang kepada Kelantan untuk memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang unik,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Topview Holiday Japan Co. Ltd, Bill Cheng berkata kumpulan pertama pelancong Jepun dijangka tiba pada akhir April ini.


Beliau berkata pihaknya menyasarkan membawa kira-kira 2,300 pelancong Jepun sepanjang tahun ini, selaras dengan kemudahan baharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang kini bersedia menerima ketibaan antarabangsa.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
Jawatan Kosong Kelantan