Tindakan seorang peniaga makanan memuat naik video di TikTok dengan berpakaian serta berlagak seperti wanita membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa agama.
Orang Yang Disyaki (OYDS) berusia 25 tahun itu ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) selepas tampil memberi keterangan pada 25 November 2025.
Peguam syarie yang mewakili OYDS, Muhammad Syarafi Mohd. Salleh berkata, anak guamnya sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 19, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 atas kesalahan berkelakuan dan berlagak seperti wanita.
Menurutnya, OYDS sudah membayar bon jaminan sebanyak RM3,000 yang dikeluarkan pegawai penguat kuasa JAHEAIK pada Januari lalu sementara menunggu tarikh pertuduhan.
“Anak guam saya sepatutnya didakwa di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan kerana tempoh matang bon jaminan itu berakhir hari ini. Disebabkan ada beberapa isu teknikal yang melibatkan kertas siasatan, pendakwaan kes itu tidak dapat dijalankan.
“Justeru kita akan memohon lanjutan tempoh bon jaminan tersebut. Jika tiada sebarang permohonan lanjutan dibuat atau dikekalkan jumlah yang sudah dibayar oleh OYDS, pihak penguat kuasa JAHEAIK boleh mengeluarkan satu bon jaminan baharu dengan nilai yang lebih tinggi sehingga RM5,000 atau lebih RM10,000.
“Bon jaminan tersebut merupakan satu jaminan untuk memastikan kehadiran OYDS ke mahkamah. Jika tiada sebarang pendakwaan selepas tarikh yang ditetapkan selepas ini, kita akan kemukakan representasi kepada pihak pendakwaan atau penguat kuasa JAHEAIK untuk menggugurkan kes tersebut,” katanya selepas prosiding pengurusan kes di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan, Tunjong.
Muhammad Syarafi yang mewakili bersama rakan peguam, Mohd. Faqqhurudin Mohd. Nasir bagaimanapun tidak dapat mendedahkan lanjut berhubung kes berkenaan kerana belum menerima kertas pertuduhan dan fakta kes daripada pihak pendakwaan.
Menurutnya, OYDS dipanggil sebelum ditahan selepas JAHEAIK menerima aduan orang awam berhubung tindakannya yang berpakaian dan berlagak seperti wanita dalam satu video di TikTok.
Katanya, kandungan sebenar video tersebut tidak dapat dipastikan, namun berdasarkan maklumat diterima, OYDS didakwa memakai pakaian dan berlagak seperti wanita.
Tarikh pertuduhan akan dimaklumkan kemudian.
Sumber: Kosmo
SHARE:
