Kesanggupan seorang lelaki berusia 56 tahun ini menjaga haiwan terbiar memang luar biasa.
“Saya sanggup tahan lapar dan berhutang untuk beli makanan asalkan haiwan terbiar yang berkeliaran di kawasan rumah tidak kelaparan,” kata Zainal Abidin Mohd Noor.
Pencinta haiwan itu sebelum ini tinggal bersama keluarga, namun kini memilih untuk tinggal seorang diri. Walaupun pendapatannya sebagai penjual dalam talian tidak menentu, dia tetap memperuntukkan sekurang-kurangnya RM100 sehari untuk membeli makanan haiwan.
“Saya akan pastikan hutang makanan terus dibayar sebaik mendapat bayaran komisen jualan,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Bual, Hulu Besut.
Setakat ini, dia sudah memungut dan menjaga 30 ekor kucing terbiar di rumahnya. Selain itu, dua ekor kambing yang dianggap ‘kawan baik’ turut dipelihara kerana sangat jinak dan sentiasa berdamping dengannya.
Tidak cukup dengan itu, dia juga membela 60 ekor ayam kampung di kawasan rumah.
Menurutnya, kawasan rumahnya sering menjadi tumpuan haiwan terbiar mencari makan termasuk anjing liar. Pada awalnya hanya beberapa ekor anjing datang, namun lama-kelamaan meningkat kepada 12 ekor.
“Saya tidak sampai hati melihat haiwan terbiar kelaparan, sebab itu saya berusaha menyediakan makanan seperti ayam direbus kemudian digaul nasi,” katanya.
Setiap hari, dua kali dia akan mengagihkan makanan kepada haiwan-haiwan berkenaan.
Walaupun ada penduduk yang memandang serong kerana dia memberi makan anjing liar, baginya tindakan itu sekurang-kurangnya mengelakkan anjing menyelongkar tong sampah hingga menyebabkan kawasan menjadi kotor.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Yusof Junoh, 59, berkata tindakan Zainal Abidin yang sanggup menjaga haiwan terbiar wajar dicontohi dan dijadikan ikutan orang lain.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
