Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Mampu Tampung Empat Juta Penumpang Setahun

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya bulan depan dijangka mampu menampung sehingga empat juta penumpang setahun berbanding 1.5 juta sebelum ini.

Pengurus LTSIP, Suhaimi Abdul Sani berkata, lapangan terbang itu kini berwajah baharu selepas melalui fasa pembesaran dan naik taraf dengan kemudahan lebih komprehensif bagi meningkatkan keselesaan penumpang serta operasi penerbangan.

Menurutnya, keluasan bangunan terminal ditingkatkan daripada 12,000 meter persegi kepada 36,000 meter persegi, sekali gus menyediakan ruang lebih luas dan selesa.

“Jumlah ruang parkir pesawat ditambah kepada 11 berbanding lima sebelum ini. Balai berlepas kini beroperasi di tingkat atas melalui jejambat, manakala ruang ketibaan ditempatkan di tingkat bawah bagi mengurangkan kesesakan,” katanya kepada Bernama.

LTSIP turut menyediakan sehingga 1,300 lot parkir bertingkat berbanding 350 sebelum ini bagi memudahkan urusan menghantar dan menjemput penumpang.

Selain itu, pihak pengurusan merancang menyediakan kemudahan parkir jangka panjang dengan kadar bayaran berpatutan untuk penumpang yang meninggalkan kenderaan dalam tempoh tertentu.

Pengoperasian penuh terminal baharu itu dilihat bertepatan dengan peningkatan pergerakan penumpang menjelang Aidilfitri.

Tinjauan mendapati ruang baharu terutama di bahagian daftar masuk lebih luas dan sistematik serta dihiasi tatarias gabungan seni bina tradisional Kelantan dan elemen Islamik.

Seorang penumpang dari Selangor, Norfazlina Mukahalan, 30, menyifatkan kemudahan baharu itu sebagai mesra pengguna dan jauh lebih selesa berbanding sebelum ini.

Seorang pelancong dari Xi’an, China yang mahu dikenali sebagai Houxiulie, 44, turut memuji kemudahan di LTSIP dan menyifatkannya bertaraf antarabangsa.

Terminal baharu itu memiliki lebih 20 kaunter penerbangan, tempat letak kenderaan bertingkat, laluan khas teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang parkir pesawat serta sistem operasi tanpa tunai untuk kemudahan penumpang.


Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP itu membabitkan kos sebanyak RM440 juta.

Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Penemuan Mayat Wanita Tertiarap Dengan Kesan Tikaman Di Atas Jalan Di Ketereh
|
Penduduk sekitar Ketereh dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita…
10 Rakyat Malaysia Dalam Misi Global Sumud Flotilla 2.0 Ditahan Tentera Zionis
|
Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia…
Pelajar Parah Dirempuh SUV Di SMK Tanjong Mas Dibenar Keluar Hospital
|
Pelajar perempuan tingkatan satu yang sebelum ini parah selepas…
Langgar Kereta Polis, Pacuan Empat Roda Ditembak Dua Das Sebelum Pemandu Ditahan
|
Polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah…
Lelaki OKU Mental Didakwa Bunuh Bapa Di Baung Bayam
|
Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dihadapkan ke…
Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Jawatan Kosong Kelantan