Projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) kini mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 71.4 peratus, menurut Kementerian Kerja Raya (KKR).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek berkenaan telah menelan kos kira-kira RM2.33 bilion dan masih diteruskan mengikut perancangan.
Beliau berkata, beberapa laluan dalam projek berkenaan sudah siap dan dibuka kepada pengguna termasuk laluan dari Pasir Hor ke Kadok serta Kadok ke Ketereh.
“Bagi (laluan) Ketereh ke Kok Lanas kita (KKR) telah tamatkan (buat sementara waktu sebelum) kerana kontraktor tidak ‘perform’ (bernasalah). Tetapi kita sudah bagi kepada satu syarikat lain dan ia dalam pembinaan.
“Manakala, bagi Kok Lanas ke Bukit Tiu masih 65 peratus, Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab 68 peratus, Kampung Berangan Mek Nab ke Keroh 80.23 peratus, Keroh ke Kuala Krai 47.36 peratus.
“Jadi keseluruhan KBKK 71.4 peratus dan kosnya ialah RM2.332 bilion ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) di Dewan Rakyat berkaitan status terkini Lebuh Raya KBKK serta langkah KKR menangani isu jalan rosak di Kelantan termasuk beberapa seksyen pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Menurut Ahmad, walaupun kerajaan negeri Kelantan tidak bersama Kerajaan Persekutuan, projek Lebuh Raya KBKK tetap diteruskan kerana ia merupakan pembangunan penting untuk negeri tersebut.
Projek lebuh raya sepanjang 66.88 kilometer itu dibahagikan kepada tujuh pakej utama dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.
Lebuh Raya KBKK merupakan sebahagian daripada jajaran LTU yang bertujuan menghubungkan Kelantan dengan kawasan Pantai Barat melalui rangkaian jalan raya yang lebih baik.
Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata pihak KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memantau keadaan jalan rosak serta beberapa seksyen pembinaan LTU yang masih tertangguh.
“Mengenai Jalan Gua Musang (seksyen pembinaan LTU yang tertangguh) kita sentiasa memantau perkara ini dan akan perbaiki yang mana rosak teruk,” katanya.
Sumber: Kosmo
