Sindiket penyeludupan dikesan beralih arah ke kawasan perairan Kelantan dan Sungai Kelantan sebagai laluan baharu bagi meneruskan kegiatan jenayah rentas sempadan, susulan perobohan pangkalan haram di Sungai Golok yang bermula hujung tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan pihak polis mendapati sindiket terbabit kini mengeksploitasi ruang laut yang luas dan terbuka sebagai pintu masuk utama ke negeri ini.
Menurutnya, perubahan modus operandi itu menunjukkan sindiket semakin tersusun, terancang dan berani, dengan kemasukan harian dikesan berlaku melalui laluan laut sebelum barangan disalurkan ke Sungai Kelantan dan seterusnya ke darat.
“Laluan laut terlalu luas dan terbuka. Tanpa sistem pemantauan teknologi seperti Remote Sensor Site (RSS), kita berdepan kesukaran mengesan kemasukan bot penyeludup lebih awal.
“Mereka boleh bergerak jauh termasuk ke kawasan Besut, Terengganu dan lokasi lain tanpa dikesan. Sebab itu kita perlukan kemudahan RSS seperti yang dicadangkan di Pulau Tengkorak, Tumpat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Mohd. Yusoff turut memaklumkan rangkaian penyeludupan kini menggunakan penempatan penduduk kampung sebagai rumah transit bagi menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk melancarkan pergerakan mereka.
Katanya, pihak polis telah menjalinkan kerjasama rapat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin bagi memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara.
“Bagi kawasan darat pula, pasukan khas digerakkan untuk pemantauan dan operasi berterusan.
“Usaha ini penting bagi mengelakkan Kelantan terus menjadi hab transit jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan negeri dan negara,” ujarnya.
Sumber: Kosmo
SHARE:
