Hampir sejuta kenderaan dijangka memasuki Kelantan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan kali ini berikutan cuti yang berlaku hampir serentak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kebanyakan rakyat Kelantan memilih pulang ke kampung pada awal Ramadan bagi mengambil peluang berbuka puasa bersama keluarga.
Menurut beliau, situasi tersebut menyebabkan peningkatan mendadak kemasukan kenderaan ke negeri ini, khususnya melalui laluan utama.
“Memandangkan Tahun Baharu Cina bersekali dengan awal Ramadan, sudah tentu kemasukan kenderaan ke Kelantan tinggi dan dijangka hampir sejuta.
“Justeru, pada Op Selamat yang bermula Ahad ini sehingga Jumaat depan, kita akan fokus kawasan tertentu, terutama di Gua Musang kerana banyak laluan sedang dalam pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Tambah Mohd Yusoff, pihak polis juga telah mengenal pasti beberapa laluan panas (hot spot) kemalangan dan kesesakan trafik sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
“Kita akan menempatkan lebih ramai anggota di lokasi-lokasi berisiko bagi memastikan aliran trafik lebih lancar serta keselamatan pengguna jalan raya terjamin,” katanya.
Mengulas prestasi operasi sebelum ini, beliau berkata Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina tahun lalu mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan bagi kontinjen Kelantan.
Menurut statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya berjaya dikurangkan daripada 252 kes kepada 228 kes, iaitu penurunan sebanyak 10 peratus.
Lebih membanggakan, kemalangan maut turut menurun daripada lapan kes kepada hanya tiga kes, bersamaan penurunan sebanyak 63 peratus.
Selain itu, tiada kemalangan parah serta tiada kecederaan parah direkodkan sepanjang operasi tersebut.
Pencapaian itu, katanya, mencerminkan keberkesanan perancangan, komitmen serta kehadiran proaktif pegawai dan anggota polis di lapangan.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
