Penduduk di sekitar laluan sempadan dua daerah antara Kampung Sri Kulim, Melor dan Bukit Mak Lipah, Mahligai, Bachok meluahkan kebimbangan apabila lori muatan berat menggunakan jalan kampung itu tanpa had masa tertentu, sekali gus menjejaskan kehidupan harian mereka.
Menurut laporan Sinar Harian, seorang penduduk, Saridah Abdul Latif, 54, berkata keadaan menjadi semakin serius sejak setahun lalu apabila bilangan lori meningkat susulan aktiviti pengambilan tanah yang bermula kira-kira tiga tahun lalu.
“Tak boleh buka pintu rumah. Habuk masuk dan bunyi bising ganggu penduduk tak kira masa berpunca daripada lori-lori besar,” katanya.
Menurut beliau, pergerakan lori berlaku hampir sepanjang hari bermula seawal 8.30 pagi sehingga 5 petang, malah ada yang berlarutan hingga 7 malam.
“Masa ambil anak balik sekolah sekitar jam 1.15 tengah hari, lori masih lalu jalan ini. Pagi, tengah hari, petang semuanya ada,” katanya.
Penduduk mendakwa setiap lori membawa muatan antara tiga hingga 10 tan dan ada yang membuat sehingga lima hingga enam perjalanan sehari, sekali gus menyebabkan pencemaran habuk, bunyi bising serta kerosakan jalan kampung sepanjang kira-kira dua kilometer.
Malah, katanya, pernah berlaku kemalangan melibatkan lori dan kenderaan penduduk, namun bernasib baik tiada kehilangan nyawa dilaporkan.
Tinjauan di lokasi mendapati sekurang-kurangnya 27 lori menggunakan laluan kampung satu lorong itu termasuk pada waktu pelajar pulang sekolah.
Seorang lagi penduduk, Nor Shafizal Amri, 20, berkata jalan tersebut sebenarnya hanya sesuai untuk laluan kereta dan motosikal.
“Bila ada sekatan jalan raya di jalan utama, lebih banyak lori akan guna laluan kampung ini sebagai jalan pintas,” katanya.
Penduduk turut mendakwa palang besi had ketinggian yang dipasang di laluan masuk hanya bertahan beberapa bulan sebelum dirempuh kenderaan berat berkenaan.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
