Seorang petinju Muay Thai maut selepas tercampak sejauh kira-kira 40 meter apabila dirempuh sebuah trak pikap ketika sedang berjoging di Kilometer 4, Jalan Gua Musang–Sungai Terah, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang itu, mangsa, Mohamad Nabil Mohamad, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 6.30 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu trak pikap berusia 33 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Terah menghala ke Gua Musang sebelum dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.
“Akibat kejadian itu, kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan dan melanggar mangsa yang sedang berjoging bersama rakannya.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 40 meter manakala trak pikap terbabit terbabas dan terbalik di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
Tambahnya, pemandu serta penumpang trak pikap terbabit dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang bagi proses bedah siasat.
Menurut Choon Foo, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 atau 019-9144855.
Mohamad Nabil Mohamad atau dikenal sebagai Pokbil dari kelab Muay Thai Anak Tiong Gua Musang Kelantan sebelum ini dijadualkan beraksi dalam kejohanan Muay Thai Kuda Merah Gua Musang pada 31 Januari ini.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
