Seorang Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas dipercayai tercekik buah rambutan ketika berada di rumahnya di Felda Neram 1, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Mohd Razi Rosli, berkata mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman pada jam 2.50 petang.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang memakan buah rambutan yang dikupas oleh kakaknya berusia enam tahun kira-kira jam 1.30 tengah hari.
“Ketika sedang makan, secara tiba-tiba suara mangsa tersekat-sekat kerana buah rambutan dipercayai tercekik di bahagian kerongkong,” katanya.
Beliau berkata, keluarga mangsa kemudian segera membawanya ke sebuah klinik kesihatan berhampiran sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.
“Pemeriksaan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat tercekik dan terdapat buah rambutan di bahagian kerongkong,” katanya.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
