5 Bulan Berlatih Tanpa Gaji, Bekas Pemain Bolasepak Asal Kelantan Terpaksa Jual Nasi Kukus Tepi Jalan

Rindu kepada bola sepak itu memang ada. Namun realiti hidup memaksa Muhammad Fahmi Mohd Sabri, 27, membuat keputusan berat dengan menggantung but dan mencari rezeki dengan berniaga nasi kukus di tepi jalan.

Menurut laporan Harian Metro, bekas pemain bola sepak itu mengakui dunia bola sepak hari ini tidak lagi seperti dahulu. Jika dulu pemain boleh fokus sepenuhnya kepada karier dengan gaji yang terjamin, kini situasinya berbeza.

“Dulu boleh fokus karier sebab gaji besar… sekarang tak boleh. Jadi saya fokus berniaga,” katanya ringkas.

Kisah Muhammad Fahmi menjadi perhatian ramai selepas video kegigihannya berniaga nasi kukus tular di media sosial.

Tidak ramai tahu, pemuda berasal dari Kubang Kerian, Kelantan ini pernah mewakili beberapa pasukan termasuk Kelantan Bawah 21 Tahun, UiTM United FC, dan kali terakhir KL Rovers FC sehingga Ogos tahun lalu.

Namun, masalah tunggakan gaji menjadi titik noktah kepada karier bola sepaknya.

“Alhamdulillah, saya main dengan baik. Cuma masuk tahun kedua, gaji tak dibayar walaupun lima bulan berlatih. Saya kena ada pendapatan sebab perlu bayar sewa rumah dan komitmen lain,” katanya.

Keputusan untuk berhenti bukan mudah. Malah, Muhammad Fahmi mengakui dia pernah membayangkan akan bermain bola sepak sehingga tua. Namun, keadaan memaksanya akur bahawa rezeki setiap orang berbeza.

“Berat memang berat. Tapi kalau teruskan, tak makan saya. Kecaman memang ada, orang kata saya main bola tak betul. Hakikatnya saya sudah buat sehabis baik, cuma tak ada rezeki.”

Kini, Muhammad Fahmi sepenuh masa mengusahakan Nasi Kukus Cikgu Sabri di Kampung Melayu Ampang, Kuala Lumpur — dinamakan sempena Allahyarham bapanya, Mohd Sabri Che Ali.

Perniagaan itu dimulakan dengan wang simpanan sendiri. Dia turut berkongsi bahawa idea berniaga nasi kukus tercetus selepas bertemu seorang wanita yang memasak hidangan tersebut, sebelum belajar resipi dan cara penyediaan lebih sebulan.

Nasi Kukus Cikgu Sabri Ampang

Fahmi di gerai nasi kukus diusahakannya di Kampung Melayu Ampang, Kuala Lumpur. (Foto: Mohamad Shahril Badri Saali, Harian Metro)



“Susah memang susah pada awalnya, tapi saya yakin. Dulu pun pernah berniaga air balang dan buka kopitiam. Sekarang saya buat sendiri dari A sampai Z,” katanya.

Muhammad Fahmi tidak berjuang sendirian. Empat orang adik-beradiknya turut membantu, selain sokongan kuat daripada ibunya, Khadijah Mohamed, 56, yang menjadi tulang belakang sejak awal.

“Sambutan mula perlahan, tapi sekarang Alhamdulillah orang dah kenal. Mereka tahu masalah gaji tak dibayar dan sokong saya.”

Bekas pemain yang pernah beraksi hingga ke peringkat Liga Super itu berharap perniagaannya terus berkembang dan suatu hari nanti mampu membuka cawangan di seluruh negeri.

“Dengan berniaga ini pun saya boleh bantu orang lain. Insya-Allah rezeki ada,” katanya.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

10 Rakyat Malaysia Dalam Misi Global Sumud Flotilla 2.0 Ditahan Tentera Zionis
|
Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia…
Pelajar Parah Dirempuh SUV Di SMK Tanjong Mas Dibenar Keluar Hospital
|
Pelajar perempuan tingkatan satu yang sebelum ini parah selepas…
Langgar Kereta Polis, Pacuan Empat Roda Ditembak Dua Das Sebelum Pemandu Ditahan
|
Polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah…
Lelaki OKU Mental Didakwa Bunuh Bapa Di Baung Bayam
|
Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dihadapkan ke…
Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Jawatan Kosong Kelantan